Bukan tempat melepak,membuang masa,mencarut tak tentu,melucah tanpa ragu-ragu dan lain-lain yang turut melanggar AUKU. Tapi,tempat berbincang,berdiskusi ilmu,berkongsi isu,berdebat dengan jitu dan seumpama yang di galakkan oleh U.


Kenangan Puasa #1


Ingat lagi, masa umur ini 13 tahun lagi, aku dah diterbangkan ke negeri nun jauh di timur sana oleh mama kerana tuntutan menuntut ilmu. Kata mama” Ini untuk masa depan abang. Supaya cahaya akan sentiasa mengiringi abang walau ke mana abang berada”. Kata-kata mama sentiasa aku titipkan ketika itu. Sentiasa terngiang-ngiang di telinga hatta ketika mandi pun. Anak solehlah katakan.

Tika itu, aku menetap di sebuah asrama luar kerana asrama sekolah tempat aku belajar masih dalam pembinaan. Nak tak nak, takdir aku waktu itu telah ditetapkan sebegitu. Asrama Ustaz Rasyid namanya. Jauh sikit dari sekolah. Kena naik bas kalau nak sampai cepat ke sana. Tempatnya terletak di Wakaf Stan. Atas sikit dari Kubang Kerian, bawah sikit dari Bachok. Yuran asrama masa itu RM230 sebulan. Termahal antara 3 asrama lain. Namun, munasabah kerana RM30 saja untuk yuran bas. Tempoh aku di asrama ini tidak lama, hanya setakat 5 bulan saja kerana selepas itu aku berhijrah ke asrama lain pula. Asrama Sri Werna namanya, di bawah kelolaan Ustaz Abdullah. Mesra dengan panggilan Ustaz Lah saja.

Tika masuk di sini, yurannya juga agak mahal. Tempat ke-2 mahal berbanding dengan 3 asrama lain. RM205 rasanya kalau tak silap. Namun, lojiknya, aku ke sekolah menaiki basikal, maka boleh katakan yuran asrama ini paling mahal kalau yuran bas tidak dimasukcampuradukkan sekali. Itu secara tak rasmilah. Di sini, kenangan berpuasa jauh dari keluarga bermula buat kali pertama dalam hidup aku. Berpuasa sejauh 400km lebih dari keluarga aku di Kuala Lumpur ketika itu. Tidak berkesempatan pun untuk menyambut hari pertama puasa dengan keluarga. Namun, aku tidak merasa sedih kerana mendapat pengalaman pertama manis menyambut puasa dengan kawan-kawan di asrama. Kenangan puasa yang sangat indah bila dikenangkan balik. Berumur 13 tahun, berjauhan dengan keluarga dan berpuasa dengan kawan-kawan. Syoknya duduk di Sri Werna ini, berdekatan dengan bandar Kota Bharu. Hanya berbasikal saja ke sana. Tidak risau langsung dengan petrol masa itu. Indahnya zaman 13 tahun itu. Boleh ke padang bas untuk membeli makanan untuk dijadikan juadah berbuka puasa jika bosan dengan masakan di asrama. Harganya pula sangat murah. Padang bas adalah nama untuk pasar malam jika di tempat lain. Banyak makanan yang sedap-sedap dijual di sini. Kebetulan, makanan Kelantan ini kena dengan citarasa aku. Manis. Murah juga. Lokasinya juga strategik. Berhampiran dengan setesen bas. Berdekatan dengan The Store dan Pantai Timur; tempat wajib untuk membeli belah barang keperluan bagi pelajar seperti aku.

Namun, setahun selepas itu, pengalaman berpuasa di perantauan berubah pula. Kenapa?

Nanti aku ceritakan lagi ya.

Walaupun hanya bersebelas, tapi cukup-cukup untuk membentuk pasukan bola…


Lokasinya di depan KFC, KLCC. Waktunya patut jam 3 petang, tapi al-maklumlah, janji di Malaysia ini, 3 petang akan jadi 3 petang lebih sikit(minimum 10 minit dan maksimum tiada had). Tak mengapalah, kerana ini program penting, yang jarang-jarang diadakan; Perjumpaan kelas 6 Cemerlang 98. Jadi, boleh kata, lepas 10 tahun baru berjumpa semula. Aku hanya menanti tidak jauh daripada lokasi yang dijanjikan sambil tangan rajin menaip mesej bertanyakan ‘Dah sampai ke belum’ kepada si penganjur, rupa-rupanya, dia belum sampai. Terpaksalah menunggu dan sambil-sambil itu, aku sempat bersandar malas di kaunter pertanyaan dan ketika itu mata sempat menangkap tampang seseorang yang rasanya biasa dilihat. Mata bertentang, tapi tiada reaksi daripada dia mahupun aku. Ahh, orang lain kot. Getus hati aku. Namun, naluri aku tetap nakal mengatakan dia adalah orang yang memang aku kenal. Dan, tekaan itu memang tak silap. Dia ialah Farah Rizan. Itupun, selepas terserempak dengan Hanim dan Edwan yang baru sahaja tiba. Kemudian, Fairuz pula datang menyapa dan kebetulan, dia baru sahaja tiba dengan Yusairy dan Azwan di KFC yang dijanjikan. Selang beberapa minit, si Dayana dan Farah Aqilah pula tiba. Seterusnya Sabrie.

Ketika berjumpa, masing-masing rancak bergebang dan bertukar maklumat sesama sendiri. Setelah pasti tiada lagi yang akan hadir, kami semua bergerak menuju ke Dome untuk sedikit sesi santapan. Dan, di dalamnya, bersambung lagi sesi perbualan yang masih berputar sekitar kenangan zaman 6C dulu. Haha. Banyak betul kisah lucu yang dirungkai satu per satu. Edwan paling banyak dan rancak bercerita memandangkan kapasiti memorinya yang tinggi yang mampu mengingat dengan rinci perkara-perkara yang berlaku zaman itu. Tiba-tiba, tak disangka-sangka, muncul seorang lagi budak 6C, Azim.

Hmm, bila ditenung seorang demi seorang, semuanya sudah berubah; dari segi fizikal, semuanya sudah membesar dengan jayanya, sudah memperlihatkan cirri-ciri kedewasaan. Tak salah rasanya kalau aku cakap masing-masing sudah layak bergelar suami@isteri orang.Haha. Cuma, dari segi perangai, aku rasa masih belum berubah. Masih ada mengekalkan kesamaan dengan 10 tahun yang dulu. Masih sama caranya mengusik orang, masih sama blurnya, masih sama pendiamnya dan masih sama semangat mahu berceritanya.

Ini baru 11 orang. Bagaimana jika kesemua 43 orang Berjaya dikumpul. Ini hasrat aku. Hasrat mahu melihat kesemu 43 orang pelajar 6 Cemerlang 1998, Sek. Keb. Wangsa Melawati duduk berkumpul bersama di satu majlis. Mungkin masa saja yang menentukan.

Gambar kenangan sebelum semuanya pulang. Edwan tiada kerana sibuk mengambil gambar.

Kepada mereka yang baik dan memahami…


Tolong tinggalkan satu plug supaya mudah aku mencucuknya untuk menulis dengan tenang tanpa kerisauan bateri laptop akan kehabisan tenaganya…

Baca, baca, baca, baca dan tulis…


Pak Samad pernah berkata, tips untuk menjadi seorang penulis yang baik ialah pertama, perlu membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima barulah menulis. Dan, andainya ditanya jika yang kelima itu juga membaca, bagaimana? Pak Samad dengan sinisnya akan menjawab, jadilah seorang pembaca, bukan penulis.

Ini adalah antara isi yang aku dapat hasil daripada menyertai bengkel penulisan Faisal Tehrani(FT) di MPH 1 Utama semalam. Begitu rupanya mahu jadi penulis yang baik. Tapi, secara peribadi memang aku bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Pak Samad. Sementelahan, ayat Al-Quran yang pertama diturunkan pada Nabi Muhammad s.a.w di Gua Hira’ juga berkaitan dengan membaca. Maka, dari situ, kalau difikirkan secara ringkas dan mudah, Allah s.w.t telah pun memberi tips pada manusia bahawa membaca itu sangat penting jika mahu berjaya.

Banyak juga yang aku perolehi dalam bengkel selama 3 jam setengah itu. FT banyak berkongsi menceritakan pengalamannya dalam bidang penulisan dan tips lain bagaimana mahu berjaya menjadi seorang penulis atau pengarang yang baik.

Terima kasih pada Lan kerana sudi menemani aku.

Greenlake bersatu juga akhirnya…


Walaupun hanya bertiga, namun itu sudah lebih dari cukup kerana mahu mengumpulkan kesemuanya sekali mungkin payah sekali buat masa terdekat ini. Jadi, aku melihat perjumpaan kali ini sebagai perkembangan positif untuk geng Greenlake. Seperti pernah aku nyatakan sebelum ini, nama Greenlake ini sangat nostalgik buat aku dan juga rakan-rakanku yang lain. Maka, sudah tentu pertemuan ini amat bererti buat aku. Dua orang kawan aku kebetulan datang ke UPM kerana ada tugasan yang mereka perlu lakukan selama 2 minggu. Tadi, kami sama-sama melepak di kafe sambil bergelak tawa mengenang imbasan memori lama. Mereka tak banyak berubah, sama macam aku. Cuma aku tak sangka mereka berdua sudah berpasangan. Aku saja yang masih belum. Hmm, satu cabaran untuk diri aku. Tak kisahlah, yang penting kami masing-masing sudah melangkah ke alam yang lebih dewasa dengan menggalas tanggungjawab yang semakin hari semakin berat. Itu sudah pasti dan aku yakin kami sudah bersedia ke arah itu.

*Kausar, aku tak sangka kau sudah berubah. Machang, kau masih sama macam dulu. Aku lagilah, tak berubah apa-apa pun.

Akhirnya, : ya itulah ayat paling sesuai aku rasa…


Lega. Kini aku sudah boleh melelapkan mata seperti biasa tanpa ada kerisauan terbuku di dalam sanubari lagi. Semuanya gara-gara mimpi aku sudah pun sampai ke penamatnya seperti seorang pelari marathon yang berjaya sampai ke garisan penamatnya. Rasa lega itu sukar betul mahu di tafsirkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang pernah mengalaminya saja barangkali dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan LEGA ini. Setelah hampir setahun, barulah mimpi aku ni berjaya menjumpai titik akhirnya. Ibarat sebuah jigsaw puzzle yang tidak lengkap, kini aku dah pun berjaya menemui puzzle terakhir yang selama ini aku tercari-cari untuk melengkapkan teka-teki yang membelenggui aku. Ahh. Kelegaan yang sukar sekali mahu ditafsirkan dengan ayat-ayat atau bahasa-bahasa verbal. Apa yang perlu aku lakukan sekarang adalah hanya menanti mimpi yang baru supaya hidup ini akan terasa lebih menarik dan mancabar. Tapi, bukanlah untuk tempoh yang terdekat ini, mungkin sebulan, dua bulan atau setahun lagi. Apa-apa pun, terima kasih pada mereka yang terlibat sekali dalam mainan mimpi ini. Benar, aku bukanlah seorang pemimpi yang baik, juga pemimpi yang gelojoh kerana mahu cepat habis. Tapi, untuk mimpi seterusnya, aku akan pastikan aku sudah bersedia sungguh-sungguh sebelum memulakan mainan mimpi itu. Ayuh…

Cuti CINTA…


Semalam aku jumpa doktor-bermuka-serius-yang-agak-lembut di sebuah klinik yang biasa-biasa aje sebab sakit yang mungkin biasa-biasa jugak. Dah lama tak ke klinik, maka aku seakan kekok dengan susasana di dalamnya. Bau ubat tak payah cakaplah. Menususk hidung aku ni. Nasib baik hidung aku tersumbat. Lepas dengar nama aku dipanggail, aku terus masuk ke bilik no 3. Segera punggung aku liar mencari kerusi dan terus melabuhkannya setelah terjumpa. Macam biasa, Dr. akan bertanya-tanya dulu macam sesi perkenalan atau taaruf. Kemudian barulah dia periksa apa-apa yang patut dengan segala kemahirannya sepanjang dia belajar ilmu perubatan. Tak sampai lima minit, dia dah berhenti periksa aku.

-Sakit apa saya Dr.

Dr. dengan suara kepit.

+Sakit biasa je ni. Jangan risau, awak akan ok nanti

-Em, sakit biasa ni sakit apa

+Sakit yang biasa orang lain kena la

-Apa dia

+Yang selalu kawan-kawan awak kena, mak awak kena, bapa awak kena, Tok Wan awak kena

Garu kepala.

-Apa di…..

Dr. macam dah bengang sebab aku banyak sangat tanya dan tak sempat aku nak habiskan ayat terakhir aku dan dengan suara garaunya,

+Awak nak pertikaikan saya sebagai Dr. ya. Tu, tengok kat dinding dalam bilik ni, berapa banyak sijil-sijil kedoktoran yang saya dah ambik. Berapa banyak Negara saya dah pergi dan awak masih tak percaya.

Tanpa sebarang jeda, Dr. menghabiskan ayatnya dengan satu nafas saja. Aku jadi tergamam sebentar bila melihat Dr.-sekejap-kepit-sekejap-garau ni tiba-tiba jadi sebegitu dan tak tahu berapa liter air liur aku dah telan sebab terkejut beruk. Aku pun tengoklah sekeliling aku dan memang betul, kat setiap penjuru dinding itu, pasti ada tergantung sijil-sijil yang menunjukkan dia adalah seorang Dr. US, UK, Ireland dan ada beberapa buah negara yang janggal namanya untuk aku sebut tertulis di setiap sijil-sijil yang dia miliki.

+Nanti balik ni, makan dan habiskan semua ubat yang saya bagi. Dan, yang penting, awak kena bercuti.

Kembali ke suara kepitnya.

-Cuti!!! (dengan nada girang)

+Cuti CINTA. Setahun awak tak boleh bercinta dengan mana-mana gadis di luar sana

-Kenapa? (murung balik)

+Panjang ceritanya. Tapi, kalau dipendekkan, awak mengalami depresi yang amat teruk setelah terdedah dengan terlalu lama radiasi kemurungan orang yang gagal bercinta dan ianya telah merebak sampai ke otak awak lalu boleh menyebabkan awak mengidap penyakit otak kapasiti rendah jika awak degil tak mahu dengar cakap saya yang dah lama belajar dalam ilmu kedoktoran ini.

Aku hanya angguk tanda buat-buat paham walaupun tak paham sebenarnya.

- Dah tu, nak berkawan pun tak boleh ke?

+Boleh, awak bebas nak berkawan dengan sesiapa, cuma pastikan saja hubungan kawan itu adalah hubungan platonik.

- Platonik?

+Contohnya macam ni, awak dan jururawat saya kat kaunter tu, kamceng sebab awak selalu datang sini dan jumpa dia masa nak ambik ubat. Tapi, awak tiada perasaan langsung kat dia walaupun dia sangat cantik. Paham.

+Tapi, kalau si perempuan yang tergila-gila kat saya camne. Takkan saya nak menolak macam tu je. Rugi la Dr.

-Jangan risau, saya akan beri awak MC mengatakan awak bercuti dan tunjukkan saja pada mana-mana perempuan yang ada hati pada awak. Dia akan segera faham dan akan segera melupakan niatnya untuk menyimpan rasa CINTA pada awak. MC ini dah mendapat ISO dan di perakui di setiap negara. Jadi, gadis luar negara yang bermata biru dan berhidung besar pun awak takkan berjaya dapat. (nada serius tapi masih kepit)

Aku hanya mampu menggeleng kepala tanda tak percaya nasib aku begini rupa.

-Kalau dengan lelaki boleh. Hehe(tersengih)

Mata Dr. terbeliak besar dan hampir-hampir dia terlompat dari kerusinya. Mungkin tak percaya ayat sebegitu boleh terpacul dari mulut aku, seorang lelaki alfa romeo sejati yang secara fizikalnya kelihatan normal dan sentiasa menjadi kegilaan ramai wanita di sana.

-Hehe. Gurau je. (tersengih)

Aku pantas keluar dan menunggu untuk mengambil ubat di kaunter. Jururawat di kaunter itu menunjukkan muka sedih seolah-olah bersimpati dengan nasib yang melanda aku. Dan, sebelum aku beredar, aku terdengar si jururawat berbisik perlahan pada telinga aku

* Lepas setahun jangan lupa datang cari I ya

Jururawat berkata dengan penuh manja sambil melirikkan matanya yang tajam dan menggoda itu. Aku hanya tersenyum mendengarnya berkata begitu. Perkara biasa bagi aku.

Aku membelek-belek MC yang diberi dan dengan terang tertulis ” Cuti dari CINTA. Tempoh : 1 tahun bermula dari 11/08/2008 hingga 10/08/2009. Terdapat tandatangan Dr. di bawah penjuru kanan MC tu. Juga ada logo ISO di atas kiri. Hmm, apa aku nak buat dalam tempoh setahun ni. Aku hanya menggaru-garu kepala yang tak gatal tu. Tiba-tiba, dibelakang MC itu, terdapat sebuah nota kecil bertulisan tangan cakar ayam berbunyi “PS, u really meant it ke ayat terakhir tadi? Kalau ya, call I ya” dan tertera no. hp di bawah akhir ayat itu. Siapa pula ni? Ahhh, aku teringat kembali adegan dalam bilik Dr. sebentar tadi. Sudah, rupa-rupanya Dr. tadi terkejut bukan sebab tak percaya aku ini tak normal, tapi sebab dia gersang. Aduhh. Gurau yang menjadi nyata. Itulah kau, celupar sangat mulut ni. Aku menepuk dahi tanda menyesal tak sudah.

Cuti CINTA setahun. Lama tempoh tu. Aku mengulang kembali ayat tadi.Hmmmm. Aku mengomel sorang-sorang sebelum berjalan berlalu menuju ke tempat aku parkir kereta. Dan di belakang kereta aku lebih kurang 100 meter dari situ, terpampang satu signboard warna pink.”KLINIK DOKTOR CINTA*”.

*Lelaki sahaja.

Patut pun. Baru aku paham.

Terus aku hidupkan kereta dan pandu laju macam F1 dan segera ke kedai mamak mencari ketenangan untuk setahun akan datang.

Bahasa Melayu tidak boleh diantarabangsakan? Pergi mampus pada si Melayu yang berkata begini


Ini antara ayat yang aku sendiri dengar keluar dari mulut seorang yang tak malu mengakunya Melayu. Ahh, celakalah pada siapa yang berani berkata begitu. Juga pada sesiapa yang terlalu suka dengan bahasa penjajah sampai berani berkata begini ” Bahasa Inggeris penting sekarang tau”, ” Nak maju kena belajar bahasa Inggeris”. P*****k lah wei. Aku tahulah bahasa Inggeris penting sekarang, sebab tu kerajaan yang ‘bijaksana ‘ mewajibkan Matematik dan Sains dalam BI sampaikan terkial-kial adik aku nak belajar. Aku tahu juga, memang banyak Negara yang maju adalah yang berkiblatkan BI. Tapi, tak perlu mengeluarkan kenyataan sombong, angkuh dan pongah sebegitu yang seolah-olah merendah-rendahkan bahasa Melayu itu. Malah, kalau tengok semula sejarah, Matematik dan Sains mula-mulanya bukan mereka yang pelopori, tapi tamadun lain. Tamadun Mesopotomia, Yunani , Rom dan Islam yang mula-mula mempelopori bidang ini. Mana ada dulu mereka guna BI untuk mengembangkan tamadun mereka, malah rasanya BI pun mereka tak kenal. Lepas itu, banyak lagi Negara maju lain, maju tanpa menggunakan BI. Nak aku sebut ke. Jepun, Perancis, Jerman contohnya. Cuma, di Malaysia ini, peliknya sangat ajaib. Orang Melayu kini, yang mengaku menjadi mahasiswa boleh mengeluarkan kenyatan bodoh dan bebal macam ini. Apa kalau tak belajar BI, Malaysia tak boleh maju ke. Apa BM tak boleh memajukan Malaysia ke. Apa takut sangat tak sempat nak mencapai taraf Negara maju pada 2020 ni, maka korang beranggapan BI adalah jalan pintas untuk menuju ke arah kemajuan.Itu sangat mengarut dan aku membangkangnya sepenuh hati. Sesebuah tamadun dibentuk seiring dengan bahasanya. Maka, kalau Malaysia mahu membentuk tamadunnya sendiri setaraf dengan tamadun-tamadun dulu, atau paling tak sekarang boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan US, BM adalah jawapannya. MauXi Tow pernah berkata, “tinggi atau rendahnya sesuatu bahasa itu bukanlah kerana namanya, tetapi kerana penuturnya”. BI kuat bukan sebab namanya adalah bahasa Inggeris, tetapi disebabkan penuturnya yang tinggi semangat nasionalisnya sampaikan berjaya menyebarkan BI ke serata dunia dan boleh digelarkan bahasa global. Dan, disebabkan oleh kedangkalan mereka yang berfikiran sempit dan jumud begini, maka BM terus dipinggirkan. Hanya layak menjadi bahasa kelas kedua. Hanya layak menjadi bahasa bualan, bukan bahasa intelektual. Sehinggakan bahasa Melayu itu terpaksa dikorbankan menjadi bahasa Malaysia. Sedangkan nenek moyang aku bertaus-ratus tahun dulu tetap kekal guna nama bahasa Melayu, tapi eh, bila dah nak maju ni, ditukarnya pula. Kemajuan itu bukan diukur pada materialistik saja, tetapi rohaniah dan emosi juga perlu seiring sama. Maka, tak mustahil bangsa Melayu akan pupus kerana bahasa Melayu yang menjadi bahasa pertuturan itu bakal lenyap. Sesebuah bangsa dapat dikenali bukanlah melalui rupanya, tetapi melalui budayanya, dan budaya itu hanya dapat dikenali melalui bahasanya. Entri kali ini, aku memang emosi kerana ia melibatkan bahasa ibunda aku, bahasa kebanggaan aku, yang menjadi warisan turun temurun sejak dari zaman lampau lagi. Kepada mereka yang bebal itu, segeralah pergi buka balik buku sejarah dan lihat sejarah tamadun Melayu dulu yang begitu agung sehinggakan BM pernah menjadi lingua franca. Serius, aku rasa mereka yang merepek dan mengarut sampai boleh melalut cakap benda merapu ini tidak pernah mengetahui akan kehebatan sejarah bahasa mereka sendiri. Ahhh, marahnya.

Dan debaran itu bertukar kepada kepuasan…


Sebelum ini, dalam entri aku yang lepas, ada aku nyatakan kenapa aku teruja, juga kenapa aku berdebar. Kini, menjadi kepuasan pula. Hairan? Hehe. Meh nak habaq sat. Begini, teruja itu kerana, pada suatu petang yang permai, ketika aku di dalam bas mahu ke fakulti untuk ke kuliah, handphone aku di masuki panggilan oleh seseorang. Ya. Kaunselor. Ini kali pertama dia call aku. Aku segera menjawab takut-takut ada perkara penting. Memang. Kaunselor mengajak aku keluar dating, eh salah, ajak aku keluar buat show. Bermonolog. Dia tanya, ” Yang, you minat tak. Kalau tak, nak cari orang lain” tanya kaunselor dengan nada penuh harapan agar aku menerima pelawaannya. Aku yang dah tahu bahawa jika aku menolak, maka si kaunselor akan kecewa, juga mungkin harapan untuk aku keluar dating dengannya, eh bukan, harapan untuk terlibat dengan shownya akan tipis selepas ini jika aku menolak. Maka dengan nada pantas tanpa ada jeda, ” Yes. Saya mahu”. “Ok. Thanx, nanti saya emailkan skripnya pada awak ya” kedengaran suara kaunselor berbunga ceria kerana hajatnya berjaya dipenuhi. Aku juga tersenyum riang kerana ini aku anggap peluang keemasan untuk belajar sesuatu tentang kaunselor, eh salah lagi, belajar tentang monolog ini. Maka, di petang yang cerah dengan awan persih itu, aku berasa teruja. Aku pandang ke luar dan mengintai ke arah langit dan tersenyum bersendirian sambil tertanya-tanya apakah bentuk persembahan itu nanti ya. Aku tersenyum begitu sampailah usai kelas aku.

Pada malam tersebut, ketika latihan sedang enak berjalan, aku tiba-tiba diserang rasa berdebar. Semuanya gara-gara aku tak dapat memenuhi piawaian si kaunselor dalam melakukan persembahannya. Barulah aku tahu, susah nak bermonolog ni. Tengok orang buat senang je. Aku tengok Yan buat mudah je. Fauziah Nawi, hmm, lagilah senang aku tengok dia buat. Kena kat aku, aduh, serba serbi tak kena dari mata kaunselor. ” Excited lagi, awak tak cukup excited lagi” kaunselor bertempik. ” Awak tak nampak natural. Buat bagi nampak natural” tempikannya bertambah kuat. ” Kasi lagi nakal, nakal, cakap nak berdating dengan saya” suaranya semakin kuat. Dating? Hehe. Ayat terakhir itu aku suka-suka tambah ya. Dan, malam itu berakhir dengan rasa berdebar. Berdebar takut aku tak mampu untuk melaksanakannya. Takut aku buat silap pada hari show nanti. Dan macam-macam takut lagilah.

Masuk hari kejadian. Petang itu, dalam pukul 2, kami semua berkumpul. Buat latihan sedikit sebelum berangkat ke Shah Alam.

Sampai ke Shah Alam, kami bergegas ke tempat kejadian. Dan, khalayaknya memang ‘ramai’. Ceh, Alis, lu buat gua cuak je sebelum ini. Setakat 30,40 orang, adoi, sia-sia beb gua rasa cuak sepanjang malam tadi sampai sekarang.(nada berlagak). Takpelah, yang penting buat yang terbaik. Lagipun, tak baik berlagak. Kita buat je. Tu pesanan kaunselor yang sentiasa aku titipkan dalam otak aku. Dan, aku berjaya melakukannya, walaupun ada la nampak sedikit kecacatan sebab selain kena pegang mikrofon (pergerakan jadi agak terbatas), Si- Minah-Berlakon-Jadi-Anak-Aku boleh tertukar lirik nyanyi lagu patriotik. Nasib baik aku tak ketawa atas pentas tu.Tak kisahlah. Yang penting kami semua dah buat yang terbaik. Kemudian, pergi minum pula. Si Kaunselor ternyata dia berpuas hati dengan kami bertiga. Dia pelawa aku untuk ikutnya ke Selatan buat show lagi. Aku terus setuju tanpa berfikir panjang lagi. Peluang keemasan macam ni, bila lagi aku akan dapat. Nak, nak si kaunselor sendiri yang mengajak. Peh. Memang kau bodohlah kalau tolak pelawaan dia. Tentang keluar dating, aku tolak tepi dulu. Boleh tunggu bab tu. Lagipun, aku cakap pada si kaunselor, aku belum bersedia dan dia memahami. Hehe.

*Ada ayat-ayat di atas aku reka sedikit, saja nak menambahkan lemak sedikit pada ceritanya. Takdelah hambar sangat. Apa pun, aku ucap berbanyak terima kasih pada Si Kaunselor kerana sudi menjemput dan menaruh kepercayaan pada orang kerdil macam aku ni untuk menjayakan persembahannya.

Sudah-sudahlah tu…


Aku memang tak berapa suka jika ada perkelahian di depan mata aku. Lebih-lebih lagi bila melibatkan mereka yang serona kulitnya dengan aku. Arghhhh! Cukuplah biarkan saja orang-orang tua kat luar sana (baca : politik) bergaduh sesama mereka. Kita yang masih muda tak perlulah nak bergaduh. Aku tahu, bila sebut orang muda, automatik darah mudanya masih panas. Ego masing-masing melangit tinggi. Rasa diri ini paling hebat, paling bagus di jagat ini. Sudah-sudahlah.

Daripada kita bergaduh dan kemudian berpecah, itu sangat merugikan. Biarkan saja mereka-mereka yang berpegang pada panji masing-masing kat luar sana berpecah. Kononnya masing-masing memperjuangkan kebenaran sampaikan Melayu boleh berpecah belah. Tak perlu, kita mahasiswa atau sekarang dah tukar pelajar nak ikut jejak mereka. Biarkan saja mereka berkelahi sesama  mereka. Mereka dah tak lama. 10, 15 tahun semua dah meninggalkan dunia ini. Kita pula nak menggantikan mereka. Tapi, kalau sekarang dah berpecah, macam mana mahu manjadi kuat. Bagaimana Melayu mahu maju. Jadi, sudah-sudahlah berkelahi. Aku sangat ralat jika hal yang kecil boleh dibesar-besarkan sampai mahu berkelahi.