Bukan tempat melepak,membuang masa,mencarut tak tentu,melucah tanpa ragu-ragu dan lain-lain yang turut melanggar AUKU. Tapi,tempat berbincang,berdiskusi ilmu,berkongsi isu,berdebat dengan jitu dan seumpama yang di galakkan oleh U.


Archive for the ‘Pandangan’


Kuras-Kuras Kreatif

Menarik, menghiburkan dan penuh dengan ilmu berkaitan cerpen dan novel. Itu adalah apa yang dapat aku simpulkan setelas usai membaca buku ini. Buku setebal 146 muka surat ini banyak menyentuh tentang proses kreativiti Azizi Hj Abdullah sepanjang penglibatannya menghasilkan cerpen dan novel. Juga, boleh dikatakan bahawa buku ini adalah mini biodata beliau kerana banyak juga perihal tentang diri beliau diceritakan sejak dari kecil hinggalah dewasa kini.

Terdapat 5 bahagian dalam buku ini yang setiap bahagian diceritakan secara terperinci bagaimana beliau boleh terlibat dalam bidang penulisan, bagaimana pengalaman-pengalaman sewaktu kecil dahulu ketika bergelar budak kampung banyak membantu beliau dalam menghasilkan karya kreatif dan diceritakan juga dengan jelas tentang pengalaman-pengalaman beliau dalam bidang penulisan kreatif sehingga berjaya menjadi penulis mapan kini.

Tidak perlu diceritakan dengan lebih panjang lebar kerana khuatir nanti akan menjadi spoiler pula. Takut juga magis buku ini akan hilang jika terlalu banyak isi perut buku ini diburaikan. Maka, eloklah pada mereka yang mahu menjadi penulis atau peminat pada penerima SEA Write Awards 1986 ini supaya segera mendapatkannya di pasaran.

Jika susah mencari di kedai buku, boleh saja melanggannya secara online. Pergi saja Ujanailmu.com.my.

Malam Membaca Puisi di Rumah PENA…

Malam 6 Jun 2008 merupakan malam bertuah buat aku. Jika malam sebelumnya adalah malam yang malang ekoran kenaikan mendadak dan melampau emas hitam di Bolehland, malam ini aku anggap malam bertuah buat aku. Kali pertama menjejakkan kaki ke rumah Pena yang letaknya kurang 200 meter dari bangunan DBP untuk mendengar para penyajak membacakan sajak mereka. Terima kasih aku ucapkan pada penjemput, Kak Adik yang memang bermurah hati menumpangkan aku sekali untuk sama-sama ke destinasi yang sama, rumah PENA…

Kali pertama aku berjaya melangkah masuk ke tempat seni ini, aku rasa sungguh bersyukur. Jika sebelum ini, biasanya aku hanya mendengar dendangan sajak di kaca tivi. Kali ini, dapat melihat di hadapan mata dan mendengar dengan dekat. Syukur pada tuhan. Para penyajaknya pula bukanlah calang-calang orang. Lihat dari gaya mereka saja aku sudah tahu dan dapat lihat kehebatan mereka. Lebih-lebih hebat tika mereka beraksi di depan. Kak Adik juga adalah salah seorang penyajak yang dijemput oleh rumah PENA untuk mendendangkan sajaknya. Pada malam itu, antara penyajak lain yang turut serta ialah AGI, Sutung Umar RS  dan 2@3 orang lagi yang aku sudah terlupa nama mereka…

Antara penyajak yang aku gemari ialah AGI dan Sutung Umar RS. AGI atau nama panjangnya Abdul Ghafar Ibrahim tidaklah bersajak yang pada mulanya aku sangkakan sebegitu, tapi kata Kak Adik, dia menyampaikan gurindam. Ya. Itulah kali pertama dalam hidup aku mendengar orang bergurindam. Lucu bukan. Hampir 22 tahun, barulah malam tadi aku berpeluang mendengarnya. Sebab itu aku kata di awal tadi, malam yang bertuah buat diriku. AGI menyanyikannya dengan penuh semangat yang juga adalah memang sifat semulajadinya, bak kata Ajun yang merupakan anak muridnya di UiTM. Selain lontaran suara yang padu, sememangnya aku tak nafikan AGI memiliki kemerduan suara yang lebih sedap daripada sebilangan penyanyi muda di tanah air ini. Dua kali dia beraksi, dan dua kali juga aku terpegun tanpa sebarang reaksi…

Sutung Umar R.S pula aku gemari kerana kespontananya. Dia memang seorang yang kelakar. Lelucon kecil yang dibuatnya berjaya mencuri hilai tawa dari penonton termasuk aku. Aksinya yang bersahaja juga turut menarik minat aku untuk lebih terus mengikutinya sehingga habis sajaknya habis dibacakan. Itulah bisanya apabila orang lama beraksi…

Bagi persembahan Kak Adik pula, dia menyampaikan lagu puisi yang diambil dari lagu tema filem pendeknya, Kapal Kertas yang juga adalah arahannya sendiri. Anak muda yang berbakat besar ini menyampaikan lagu puisi dengan bantuan sang pemain gitar, Alis merangkap adiknya dan memang aku dapat lihat betapa gadis muda ini begitu sungguh dan bersemangat ketika menyanyikan lagu puisi ini. Abaikan masalah suara atau gitar kerana itu hanyalah perkara remeh yang boleh dibakulsampahkan saja. Yang penting, isinya dan bagaimana gadis muda ini gigih memperjuangkan karya bangsa yang makin kurang diminati golongan muda masa kini. Untuk persembahannya yang kedua, gadis cantik ini telah membawakan sajak nukilannya sendiri yang diberi nama, “Apabila Sang Wanita Bersuara” dan aku rasa persembahannya kali ini adalah lebih baik dan meyakinkan. Mungkin mengambil pengajaran daripada yang pertama tadi lalu ditebusnya pada yang kedua…

Rahimidin Zahari juga beraksi pada malam itu walaupun bukan penyair jemputan

Para penyajak lain yang tidak disebut namanya juga semuanya bagus belaka. Maaf kerana tidak dapat mengingat nama kalian semua, jadi aku tak berani untuk membuat ulasan. Dan tambahan untuk malam bertuah ini, penonton disajikan pula dengan persembahan tradisional oleh pelajar dan tenaga pengajar ASWARA. Persembahan berbentuk muzik ini mendendangkan lagu tradisional Cik Siti Wan Kembang iaitu, lagu Wayang Kulit dan lagu . Juga, ada persembahan daripada Mek Salam Pantai Timur yang turut menyumbangkan sajaknya dan menyanyikan lagu Makyong selepas itu. Sangat menarik dan asyik sekali bila didengari…

Persembahan dari ASWARA

Keseluruhannya bolehlah aku katakan, aku mula tertarik dengan dunia puisi ini. Semacam ada sesuatu yang sudah kian lama tidur dalam diri ini mula bangkit. Harapnya biarlah ia berjaga dan tidak tidur kembali. Aku tahu, cabaran yang besar untuk kekal minat pada bidang yang cenderung dianggap sesuai untuk mereka yang berusia sahaja ini sangat besar dan berat. Mungkin, suatu hari nanti, aku pula akan berpeluang menjadi penyajak seperti penyajak-penyajak yang aku sebutkan tadi dan berpeluang juga bersajak di Rumah PENA. Tapi, biarlah itu berlaku apabila aku sudah cukup bersedia dengan ilmu di dada. Masih banyak yang perlu aku pelajari sebelum aku dapat jadikan ilusi itu realiti…

*Kepada Kak Adik dan Co, aku ucap berbanyak terima kasih kerana sudi mengajak aku. Oh ya, nanti aku akan cuba beri sedikit ualasan tentang filem pendek Kapal Kertas itu. Hehe

JOM NAIK BASIKAL

Aku dalam usaha sedang mempromosikan seruan murni pada semua rakyat Malaysia amnya dan semua pelajar khasnya untuk sama-sama kita berbasikal ke mana-mana. Langkah ini penting ekoran kenaikan melampau harga minyak (naik RM0.78) dan hal ini sudah tentunya membebankan lagi rakyat Malaysia yang memang dah terbeban dengan pelbagai masalah lagi. Juga pada semua mahasiswa yang bijaksana, aku tahu masalah kita semua kerana aku juga mahasiswa seperti kalian,  bila naik  minyak ni,eh  minyak naik,  maka  kita pasti ada yang akan naik minyak, eh belanja kita naik. Aku begitu juga. Berapa sangatlah PTPTN tu. Tak cukup satu sem nak hidup kalau bergantung pada tabung yang dah nak kering tu. Jadi, kat sini aku cuba untuk memberi alternatif lain. Mungkin kerajaan terlupa nak beri alternatif lain sebelum naik minyak, eh menaikkan harga minyak. Kan banyak lagi perkara penting perlu mereka fikir. Mungkin sebab tu mereka lupa nak sediakan alternatif pada kita semua sebelum naik minyak, eh menaikkan harga minyak. Yelah, mereka pun manusia macam kita semua. Mesti ada kelemahankan. Jadi, aku cuba untuk menolong kerajaan dalam hal alternatif ini. Mudah, murah dan tak naik minyak, eh tak guna minyak. BASIKAL

Ya. Sejak dah dewasa ini, kita terlupa dengan kenderaan pertama yang kita selalu guna sewaktu masih hingusan dulu. Kenderaan yang rajin memberi luka dan parut pada tubuh badan kita. Kenderaan penting yang menjadi tali penghubung antara kita dan padang permainan, yang jadi penghubung antara emak kita dan kedai runcit apabila dia menyuruh kita, selaku anak yang taat membeli barang dapur dan baki duit yang lebih akan masuk kocek kita. Itulah BASIKAL

Tak nak berceloteh panjang. Di bawah ini, ada aku tunjukkan jenis-jenis basikal yang pada pandangan aku sesuai untuk ditunggangi oleh setiap lapisan masyarakat, hatta pemimpin kita sekalipun…

Pertama

Basikal ini, aku cadangkan pada mereka yang sudah tua. Berumur kata orang. Yang kubur kata mari, rumah kata pergi. Sesuai untuk di bawa ke masjid atau surau yang berhampiran.

Kedua

Basikal ini pula sesuai untuk mereka yang tinggal di bandar. Urban style kata bahasa ibunda Johnny Depp. Sure kalau awek tengok orang urban bawak basikal ini mesti terpikatlah dia.

Ketiga

Basikal ibu. Para ibu digalakkan mengguna basikal ini kerana kemudahan yang disediakan. Terdapat dua biji bakul yang agak besar dan boleh memuatkan banyak barang. Jadi, sesuai digunakan ketika pergi ke pasar atau kedai runcit membeli barang dapur.

Keempat

Basikal romantik ini sesuai buat mereka yang dah berpasangan. Bayangkan, petang-petang pergi jalan-jalan di taman hanya berdua-duaan. Wah, sungguh romantis sekali. Macam dalam filem Maria Mariana. Cuma basikal je berbeza. Boleh menambaheratkan lagi hubungan sesama pasangan. Sesuai untuk suami isteri, anak dan bapa@emak atau untuk couple.

Kelima

Yang ini pulak, pada mereka yang sukakan motor besar, tapi duit tak besar. Boleh membeli basikal berkuasa besar ini. Ditambah dengan jaket kulit, jeans dan boot. Peh, memang berjiwa besarlah kalau tunggang basikal besar ni.

Keenam

Basikal untuk keluarga. Sangat sesuai pada mereka yang mempunyai keluarga agak besar. Cukup untuk enam orang.

Ketujuh

atau

Ha. Ini paling special. Saja aku simpan basikal ini yang terakhir. Kata bahasa ibunda Johnny Depp lagi, save the best for the last. Basikal pemimpin.  Ada dua pilihan. Yang pertama dah biasa kita tengokkan. Yang kedua tu, keistimewaannya ialah, ada tali pinggang keledar. Memandangkan Menteri Pengangkutan dah mewajibkan pemakaian tali pinggang bermula bulan Jun ini, maka aku rasa pilihan kedua adalah paling tepat buat pemimpin kita. Kenapa ada 2 seat? Ok. Seperti semua dah tahu, pemimpin kita kebanyakannya dah senja, kudrat dah lemah. Ditambah bebanan kerja yang memerlukan mereka berfikir, takkan nak suruh mereka bawak sendiri basikal ni. Semput. Jadi dengan adanya tambahan lagi 1 seat, bolehlah mereka menggajikan seorang driver. Kita rakyat pun, perlu ada rasa kasihan pada pemimpin kita. Asyik mereka saja yang ‘kasihankan, kita. Betul tak?

Jadi bagaimana. Terdapat tujuh pilihan yang dah aku berikan. Pilihlah yang mana berkenan ya.

Selamat berbasikal.

* Lupa nak cakap, naik basikal tu, jangan lupa pakai topi dan alat-alat keselamannya sekali. Takut insiden masa kecik kita dulu berulang kembali.

** Kak Dik, nak basikal yang mana satu. Pilih. Nanti saya belikan. Hehe

‘Ubah cara hidup’…

Lagu paling popular mutakhir ini. Memang, selepas ini akan sentiasa berkumandanglah lagu popular ini di corong-corong radio ataupun di kaca tivi dirumah kita semua nanti. Jadi, siap siagalah halwa telinga kita untuk membiasakan diri dengan alunan-alunan indah lagi syahdu yang akan dinyanyikan oleh penyair/penyanyi yang berkaliber di kaca tivi atau corong radio nanti. Buat pengetahuan, tajuk lagu ini baru saja dinyanyikan malam tadi. Jangan lupa, siap sedia juga dengan persiapan mental yang rapi ekoran provokasi-provokasi yang akan dilakukan untuk memastikan lagu ‘Ubah Cara Hidup’ ini kekal menjadi juara di carta radio rakyat Marhaen…

Aku pun baru saja malam tadi terdengar kali pertama lagu ini dimainkan di kaca tivi. Boleh tahan juga walaupun pitchingnya agak lari ke laut. Laut mana, tak kisah asalkan bukan yang berhampiran dengan Pedra Branca itu. Video klipnya juga sudah ditayangkan sekali malam tadi dan hasilnya sangat kreatif. Mengambil seputar pemandangan di beberapa buah stesen minyak di seluruh Bolehland sambil banyak kereta samada keluaran Bolehland ataupun dari luar Bolehland sedang beratur panjang dan ramai-ramai mengeluarkan badan daripada tingkap sambil melambai-lambaikan tangan menyanyi lagu ini bersama-sama. Untuk nampak lebih harmoni dan ada unsur perpaduan, semua watak dalam video klip ini pula, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan bangsa asing lain pun ada (tapi sebagai atendan pam je lah ya.Hehe). Setiap kaum akan memakai pakaian tradisi mereka masing-masing. Ah, sungguh bersatupadu sekali. Dan di penghujung video itu, petugas stesen minyak itu dengan senyuman manis nampak gigi putih (yang ini wajib seorang perempuan cantik, putih melepak, mekap tebal, ada tulang pipi dan agak gedik-gedik sikit dalam lingkungan 20an, lagi bagus kalau wajah Pan Asia) sempat mempromosikan CD pada setiap orang di situ dan tambahan yang menarik ialah, ada promosi mengisi minyak dengan harga murah. Ya, RM1.92 sahaja. Video klip tersebut telah dihasilkan petang semalam dan pada sebelah malamnya telah disiarkan. Hebat bukan. Selepas menontonnya, aku tergamam seketika (air liur meleleh keluar dek terlalu kagum dan terpesona). Betapa Malaysia ini memang boleh. Mungkin boleh masuk bertanding dalam AJL ataupun ABPPBH ataupun ke Festival Cannes,eh tu bukan festival filem ke. Haa, MTV Asia award, dengar kata nak dianjurkan di Malaysia. Bolehlah masuk bertanding ya. Kalau ada undian sms, aku sanggup melabur untuk memastikan lagu ini menjadi juara. Walaupun mungkin tidak berkualiti, tapi itu tak penting. Kan sekarang ini yang paling penting adalah popular. Betul tak Mawi?

Ok. Dah cukup aku melalut. Sorry lah ya. Mukaddimah yang agak panjang. Sebetulnya, apa yang menjadi tajuk utama untuk entri kali ini bukanlah sebuah lagu, jauh sekali ada video klipnya. Yang aku nak bincangkan kali ini ialah mengenai, Bagaimana cara untuk mengubah cara hidup : Perspektif seorang pelajar? Tajuk yang agak menarik ya. Jadi, dah nama pun berbincang, apa lagi, gelanggang silat dah dibuka, masuklah semua ya…

* Ok. Siapa ada cadangan bernas…

Babi oh babi, memang aku dengki denganmu…

Buka ini
Dah faham kenapa aku boleh cemburu dengan makhluk Tuhan yang satu ini. Hairan juga aku bagaimana makhluk ini boleh terlepas dari kandangnya hingga tersesat masuk ke dalam dewan parlimen. Mungkin itu sebabnya projek RM100 juta itu perlu dilaksanakan segera agar nanti makhluk-makhluk ini tidak akan tersesat masuk ke dalam dewan parlimen lagi…

Ok. Yang aku nak utarakan di sini hanyalah satu isu saja. Berkaitan isu babi. Penting sangat ke isu ini sampai boleh dijadikan permainan dalam parlimen. Pengurus pasar Rembau ini memang sengaja mahu mencari publisiti murahan dengan memberi akronim mengarut. Aku rasa tak perlu publisiti murahan seperti ini. Come on dude. Malu Universiti Oxford ada produk macam kau ini. Dan kepada abang Pokok Sena, aku pun rasa kau tak perlu melawannya kembali. Tak usah. Buat malu saja. Banyak lagi isu penting boleh dibincangkan. Macam isu harga beras naik, pengangguran atau pun isu sastera di Bolehland ini…

Sebut tentang sastera, suka untuk aku memberi pendapat aku berhubung perkara ini. Seperti yang diketahui umum, tak lama lagi, teks KOMSAS akan ditukar di mana ianya akan diambil alih oleh karya bukan sastera pula. Selain itu, ramai juga tahu tentang isu Pak Samad merajuk kerana isu KOMSAS tadi dan juga mungkin tentang isu hak karyanya. Selain itu, banyak lagi isu-isu yang aku tidak ketahui tetapi sebenarnya wujud dan jika tidak diambil langkah penyelesaian segera, dikhuatiri mungkin akan berkubur nanti. Minta dijauhi. Aku bukanlah orang sastera, cuma baru saja mahu bertatih-tatih dalam dunia yang aku anggap sangat menarik ini. Jadi, aku rasa, nasihat aku pada Pengurus pasar Rembau (itupun kalau kau baca entri aku ini), eloklah kiranya kau perjuangkan isu-isu yang melanda dunia sastera sekarang. Aku yakin jika kau berjaya memartabatkan kembali dunia sastera dan mengangkatnya seperti mana kedudukan tinggi yang diberikan pada dunia hiburan sekarang, aku yakin kau akan dipilih sekali lagi pada PRU13 kali ini. Tidak perlu kiraan sebanyak tiga kali dan juga bantuan daripada khidmat pos. Lagi mudah bukan…

Berbalik pada babi semula. Memang aku dengki dengan babi ini jika selalu menjadi bualan hangat sehinggakan boleh dibawa masuk ke dalam parlimen. Bukanlah aku mahu katakan isu babi ini yang sebetulnya adalah masalah besar buat penduduk-penduduk kampung di Sepang ini tidak penting. Penting sebenarnya jika yang dibincangkan adalah masalah penduduk itu. Bukannya babi itu yang di jadikan sendaan. Aku rasa memang perlu di wujudkan kod-kod etika dalam parlimen supaya orang didalamnya tidak lagi merapu yang bukan-bukan. Tidak mencarut sakan. Memang aku sokong. Seperti mana mahasiswa di sekat oleh AUKU, begitu juga dengan ahli parlimen itu sendiri…

* Tak sabar nak tunggu hasil pindaan AUKU di keluarkan. Harap-harap ada yang positif.

Kau pilih harta atau ilmu???

Persoalan yang menarik dan sering dibincangkan oleh cerdik pandai sama ada di warung kopi, starbucks, mapley sehinggalah di parkview sekalipun. Bukan apa, aku selalu berfikir dan bertanya pada diri aku sendiri, bila kau dah habis belajar nanti, kau akan mula bekerja mencari duit. Kemudian kau akan membina kehidupan kau pula. Jadi, adakah selepas itu kau akan terus melupakan hasrat mencari ilmu….

Selalu kedengaran bunyi bising diluar tentang pengangguran mahasiwa. Tambah bising lagi akan ada pula yang menyindir, “Belajar tinggi-tinggi, tapi tak dapat kerja. Baik tak payah belajar”. Sakit juga bila dengar kan. Yang lebih dasyat, kini semacam sudah trend, remaja-remaja lebih suka memilih jalan mudah untuk menjadi kaya iaitu dengan memasuki program realiti yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan ini. Alasan mereka, mahu hidup senang. Tapi, berapa ramai sangat yang berjaya. Tak ramai pun…

Jadi di sini, aku ingin cuba bangkitkan semula. Ilmu atau harta, mana yang lebih penting. Mana yang lebih utama. Kalau aku tanya budak-budak sekarang, konpem, 120% ramai akan cakap harta lebih penting. Sebab, harta boleh memberi kebahagiaan. Boleh beli macam-macam. Yela, sekarang ni pun, aku tengok, kebahagiaan hidup itu lebih di ukur pakai dengan materialistik. Lagi banyak duit kau, lebih bahagialah hidup. Ok. Berbalik pada persoalan aku yang tadi. Kalau ditanya pada aku soalan begini, aku akan memilih ilmu. Kenapa?

Aku berpegang teguh pada kata-kata Saidina Ali Bin Abu Talib RA.

Ilmu adalah lebih baik daripada harta disebabkan oleh 9 perkara :-

1) Ilmu itu warisan anbia dan harta itu ialah warisan Qarun, Fir’aun dan Syaddad dll.

2) Ilmu itu menjaga kamu dan harta itu kamu yang menjaganya

3) Orang yang memiliki harta akan mempunyai banyak musuh, sedangkan orang yang memiliki ilmu akan mempunyai banyak teman.

4) Harta itu apabila dibelanjakan ianya akan berkurangan, ilmu pula kalau kamu amalkan maka ianya akan bertambah.

5) Pemilik harta biasanya dikenali dengan si bakhil dan hina. Pemilik ilmu akan dihormati dan disegani.

6) Pemilik harta tetap akan dihisab pada Hari Qiamat, sedangkan pemilik ilmu akan memberi syafaat pada Hari Qiamat.

7) Harta itu semakin lama dibiarkan, maka ia akan semakin usang. Ilmu pula tidak sekali-kali akan lapuk dan usang.

8) Harta itu boleh menjadikan hati seseorang itu keras. Sedangkan ilmu itu pula dapat menerangkan hati

9) Pemilik harta dikatakan sebagai pemilik dengan sebab harta. Dan orang yang berilmu pula mengaku dianya hamba Allah SWT.

Jadi, pilihan terletak di tangan kita. Tepuk dada tanya selera…

mari bermimpi…

sudah lama aku tidak bermimpi. sejak dewasa ini, aku semacam sudah hilang kuasa, semacam sudah lupa untuk bermimpi. sejak aku memikul title mahasiswa yang berat ini, mimpi semacam benda asing bagi aku. semacam sudah tidak penting lagi. kini, aku hanya tak habis-habis dengan realiti….

kini baru aku sedar. penting sekali mimpi itu pada manusia. bak kata Arai pada Ikal, “tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati….”. Ya. Kata-kata yang mengasyikkan dan akhirnya berjaya membangkitkan Ikal untuk berubah. Daripada seorang pesimis kepada optimis. Yang akhirnya berjaya menerbangkan mereka berdua ke alma mater Sorbonne. semuanya bermula dari mimpi….

masih aku ingat lagi. ketika aku masih kecil. masih hingusan. masih hijau. aku suka sekali bermimpi yang melangkaui realiti hidup ini. asyik sekali. mengelamun seorang diri. mimpi untuk terbang ke negara bersalji. ke negara yang warna kulitnya lain sekali dengan aku. bahasa, budaya dan agama juga berbeza. semua itu sebahagian daripada mimpi-mimpi aku ketika masih kecil lagi…

namun, kini. setelah meningkat dewasa. mimpi itu telah dilupakan. diabaikan. aku tidak lagi bernafsu untuk bermimipi seperti itu lagi. sudah tiada. kerana bagi aku itu hanya angan-angan mat jenin. mustahil untuk digapai. aku seakan cuba menafikan bahawa tiada yang mustahil di dunia ini. semuanya karut semata…

tapi, setelah selesai membaca novel sang pemimpi, hasil karya andrea hirata. semacam ada elektrik mengalir dalam badan aku. memberi kejutan. bahawasanya, mimpi itu tiada yang mustahil jika kau adalah optimis. hanya yang pesimis saja selalu membenarkan mimpi itu mustahil. memang novel ini luar biasa sekali bagi aku. memang aku akur dengan apa dinyatakan dihadapan. Novel yang membangkitkan semangat. terasa semangat dalam darah aku yang mungkin sudah terlelap itu, kini bangkit membuak-buak. benar. semangat inilah yang diperlukan oleh aku. juga oleh anak-anak muda Malaysia yang sudah pun terlena. yang asyik dengan gejala-gejala hedonisme dan juga lain-lain gejala yang tidak sihat….

aku menyeru pada diri aku. dan juga pada rakan kalian. mari bermimpi. mencari kembali mimpi yang mampu menggelegakkan kembali darah-darah merah muda ini. ayuh, jangan membazir masa lagi…

Peperiksaan itu sebenarnya melaparkan…

Baru pulang dari Maple. Melantak segala yang ada. Perut yang kosong memberontak kini tersenyum keriangan setelah kenyang dirasuah pelbagai isi. Sepinggan nasi goreng ayam + sepinggan roti sardin dan secawan teh tarik sudah cukup menutup bising perut seksiku ini.

Bluuuuuuuuurpp!!! (Haa, ni buktinya sekali).

Ya. Aku menjadi mangsa. Mangsa kelaparan yang amat sangat. Bukan kerana penat berlari. Juga bukan kerana terbang mau jumpa bidadari. Bukan.

Tapi kerana kerakusan aku ketika menjawab soalan tadi. Semua yang di baca malam tadi berjaya di muntahkan. Tiada satu pun yang tertinggal.Fuhhh!!Leganya memang tak terperi. Tapi, faedahnya perut berbunyi-bunyi manja minta diisi.

“Adoi, kan dah makan tadi, tak kan lapar pulak.”kata hatiku cuba melawan .

“Krororororororororooorroor…”balas perutku lagi tidak mahu mengalah.

“No. You cakap nak dietkan. Nak pikat hati bidadari. Macam mane ni.”aku bertegas.

“Krorrrrrrroooorrrrrrrrrrroooorrrrrrrrrrrroooorrrrrrrrrrrrroooorrrrr” perutku memberontak tanda protes tak puas hati.

Ok. Aku selaku hamba terpaksa mengalah pada kehendak Tuan aku ini.

“Ok lah. I belanja you makan ya. Sampai you kenyang gila babi”aku berkata pada perutku tanda aku menurut.

* Ya.Periksa memang melaparkan. Ada sesiapa setuju dengan aku???

Dr. Khir Toyo kini menyertai dunia blogosphere…

Kosmo Ahad hari ini ada menyiarkan berita tentang ‘Khir Toyo penulis blog’. Dalam berita itu, Khir Toyo (KT) menyatakan tujuan beliau menjadi penulis blog adalah untuk menyuarakan pandangan beliau terhadap kerajaan baru Selangor supaya permasalahan rakyat diambil kira oleh kerajaan disamping menunaikan janji-janji manifesto ketika Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.(Berita penuh boleh dibaca di www.kosmo.com.my)

Dr. Khir Toyo

Pertama sekali,aku ingin mengucapkan selamat datang kepada Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kedalam dunia blog ini.

Sesungguhnya,aku merasakan ini adalah tindakan yang bijak dan wajar dilakukan oleh orang penting seperti KT.Ini kerana sebelum ini penulis blog sering dipandang serong dan diberi pelbagai label yang tidak menarik oleh kerajaan(terutamanya penulis blog politik).Oleh itu,diharap penglibatan beliau dalam dunia blog ini akan membuatkan kerajaan Malaysia kembali memandang tinggi pada media alternatif ini.

Selain itu,aku juga berharap agar selepas ini,akan ada lebih ramai pemimpin-pemimpin di Malaysia mewujudkan blog masing-masing kerana pada pandangan aku,blog kini bukan sekadar tempat untuk menceritakan hal peribadi atau hal perseorangan sahaja.Ianya kini sudah boleh dianggap sebagai medium alternatif untuk rakyat Malaysia mendapatkan info-info dan berita-berita tentang hal ehwal Malaysia.Ini kerana,aku pasti ramai rakyat Malaysia(termasuk aku)yang sudah muak dengan media utama yang dianggap tidak memainkan peranan mereka dengan betul disamping tidak adil,telus,berat sebelah dan penuh dengan penipuan dalam menyampaikan berita. Tidak percaya.Tontonlah sendiri dan buat penilaian yang waras nanti.

Blog juga sebenarnya boleh dijadikan sebagai medium penghubung di antara rakyat dan pemimpin dimana kedua-duanya boleh berinteraksi secara terus dan aku anggap hal ini adalah sangat ideal dan relevan buat masa sekarang(tak tahu la untuk masa akan datang pula bagaimana kaedahnya nanti) kerana ianya tiada sekatan atau birokrasi.Sebagai contoh,jika kita hendak berjumpa dengan pemimpin atasan,banyak prosedur dan protokol yang perlu dipatuhi sebelum dapat berjumpa dengannya yang bagi aku adalah sangat leceh dan menyusahkan. Penggunaan surat juga sudah tidak berapa relevan lagi kerana proses penghantaran dan penerimaannya mengambil masa yang panjang dan lama.Berbeza dengan blog.Tiada protokol yang diperlukan.Tiada birokrasi yang dikenakan.Proses yang berlaku juga adalah cepat dimana jika pada hari itu,jam itu juga blog ditulis dan di terbitkan,pada masa yang sama juga orang lain dapat terus membaca dan memberi komen dan cadangan.Sangat ideal bukan.

Oleh itu,aku sangat-sangat menyambut kehadiran pemimpin seperti Dr. Khir Toyo ini kedalam dunia penulisan blog dan mengharapkan lebih ramai pemimpin lain akan mengikuti jejak beliau nanti.Mungkin selepas ini,akan ada pula blog milik Perdana Menteri kita dan aku pasti ramai yang menginginkan beliau menulis blog.

*Baru saja melihat blog KT.Terdapat 140 lebih komen terhadap beliau dan ini menguatkan lagi semangat aku untuk turut mendapatkan angka sebanyak itu dalam blog aku nanti.Insyaallah.

kenapa aku kurang menonton drama MELAYU?

baru sebentar tadi aku lepak di kafe sambil menonton TV yang disediakan abang-kafe-baik-hati sementara menunggu Roti Nan aku siap dimasak oleh abang Pakistan itu…

kebetulan,cerita yang dipaparkan adalah sebuah drama Malaysia (atau aku rasa lebih tepat dipanggil drama Melayu kerana pelakonnya memang semua orang Melayu) di TV3 yang ada kawan aku sebut sebelum ini ceritanya menarik dan kelakar,SINDARELA tajuknya(tak tau la ade kaitan dengan cerita dongeng Cinderella atau tak)…

l_5fbca01c8c9ad6c76af1ad1c750611b9.jpg

aku google nama tajuk ni nak cari ape maksud di sebalik nama yang agak best itu,tak jumpa,aku pergi ke laman DBP dan cuba cari ape maksud nama tu,namun tak juga terjumpa,jadi ada 1 pertanyaan aku disini,ape maksud disebalik nama itu?kerana kalau mengikut bahasa ibunda aku lah,nama tu tak membawa apa-apa erti,maka disini boleh dikatakan sudah melanggar tatatertib bahasa itu,namun jika digunakan untuk nama orang atau untuk kreativiti aku tak pasti pula boleh atau tidak dan aku ingin bertanya lagi,kenapa tidak digunakan saja nama dalam bahasa Melayu itu sendiri kerana bagi aku,nama-nama yang terdapat di dalam bahasa Melayu itu sendiri sebenarnya terkandung banyak nama-nama yang indah dan menarik,kenapa mesti dimelayukan Cinderella menjadi Sindarela(pendapat aku saja)…

Ok.Berbalik pada persoalan asal aku,kenapa aku kurang menonton drama Melayu?Bukan tidak minat, kerana ada juga drama Melayu yang aku tonton seperti drama Kami dan Kerana Cintaku Saerah(minat dengan jalan ceritanya yang segar dan lari daripada jalan cerita drama Melayu lain yang stereotaip dan juga kekuatan pelakonnya).Namun, kerana ada beberapa sebab yang aku ingin katakan adalah pandangan peribadi aku,maaf jika ada yang kurang senang dengan apa yang ingin aku nyatakan…

kami.gif

1167494512_e94dd4a839_o.jpg

Sebab pertamanya adalah masalah bahasa.Kadang-kadang aku tak pasti sama ada drama yang aku tonton itu adalah drama dari Malaysia atau dari Amerika@England.Terlalu banyak bahasa mat saleh yang digunakan di dalam drama itu. (Maaf,orang patriotik seperti aku ini kurang gemar bila bahasa penjajajah mendominasi dalam drama Malaysia).Hairan juga aku,kenapa tak guna bahasa ibunda sepenuhnya dalam drama tu,kenapa mesti ada bahasa mat saleh tu.Bukan lah aku menentang penggunaan bahasa mat saleh tu.Bukan.Aku tau,memang orang Malaysia ni ramai yang pandai berbahasa Inggeris,kadang-kadang lebih handal daripada mat saleh tu sendiri.Dan pemimpin kita sendiri turut menekankan kepentingan menguasai bahasa globalisasi ini.Tapi,janganlah sampai bahasa ibunda sendiri dipinggirkan.Serius, aku memang rasa kurang selesa bila menonton cerita yang dibanjiri dengan penggunaan bahasa mat saleh ini.Kalau lihat drama dari Negara lain seperti negara Jepun atau Korea,aku dapati dalam drama mereka,kurang menggunakan bahasa mat saleh tu sepenuhnya.Kalau ada pun tak banyak dan boleh dibilang dengan jari dan yang pasti,jalan cerita mereka tetap menarik untuk ditonton dan tidak ada cacat cela pun…

Kedua pula,selalunya yang aku perasan,kalau ada konflik dalam drama Melayu ni,mesti akan berakhir dengan pertengkaran di mana sama ada si perempuan akan menjerit marah-marah atau si lelaki yang juga turut menjerit marah-marah dan biasanya akan diakhiri dengan adegan tampar menampar.Ok.Berbalik pada drama Negara lain,aku dapati berbeza pula,tiada adegan seperti disebutkan,sebaliknya masing-masing,si lelaki atau si perempuan tetap mengawal emosi masing-masing dan kelihatan professional ketika melakonkan adegan konflik ini.Tiada meninggi suara.Tiada tampar menampar.Tu yang aku suka dengan drama Negara lain.Berbeza dengan drama Melayu dan ini membuatkan aku hairan kerana ianya seolah-olah sudah menjadi trademark dalam Malaysia ini.Jadi,aku rasa jika drama Melayu juga melakukan gaya professional ini,maka ianya akan kelihatan lebih elok dan seronok untuk ditonton.Kalau tak,aku mesti orang luar yang turut menonton akan merasakan inilah budaya orang Malaysia.Tak elok bukan…

Terakhir sekali,aku rasa teknik kamera.Kalau dipertingkatkan lagi,aku yakin drama Melayu akan menjadi lebih baik.Sebab,kadang-kadang aku tengok,adegan yang sepatutnya suspen,kurang menjadi suspen disebabkan teknik kamera yang tak best.Jadi,cameraman tu perlu belajar lebih banyak tentang teknik kamera yang betul supaya drama Melayu akan nampak lebih hidup dan berwarna-warni…

Ok.Itu sahaja pandangan peribadi aku.Kalau ada yang tidak bersetuju dengan aku,tidak mengapa kerana kita manusia memang dilahirkan berbeza.Mungkin ada yang bersetuju,mungkin ada yang tidak.Apa-apa pun,aku tetap berharap agar kalian pembaca yang baik hati dapat memberikan sebarang maklumbalas untuk entri ini.Sekian.

*Suka dengan watak Abu dan Jibek dalam drama Kami dan Kerana Cintaku Saerah.