Kenangan Puasa #1
Ingat lagi, masa umur ini 13 tahun lagi, aku dah diterbangkan ke negeri nun jauh di timur sana oleh mama kerana tuntutan menuntut ilmu. Kata mama” Ini untuk masa depan abang. Supaya cahaya akan sentiasa mengiringi abang walau ke mana abang berada”. Kata-kata mama sentiasa aku titipkan ketika itu. Sentiasa terngiang-ngiang di telinga hatta ketika mandi pun. Anak solehlah katakan.
Tika itu, aku menetap di sebuah asrama luar kerana asrama sekolah tempat aku belajar masih dalam pembinaan. Nak tak nak, takdir aku waktu itu telah ditetapkan sebegitu. Asrama Ustaz Rasyid namanya. Jauh sikit dari sekolah. Kena naik bas kalau nak sampai cepat ke sana. Tempatnya terletak di Wakaf Stan. Atas sikit dari Kubang Kerian, bawah sikit dari Bachok. Yuran asrama masa itu RM230 sebulan. Termahal antara 3 asrama lain. Namun, munasabah kerana RM30 saja untuk yuran bas. Tempoh aku di asrama ini tidak lama, hanya setakat 5 bulan saja kerana selepas itu aku berhijrah ke asrama lain pula. Asrama Sri Werna namanya, di bawah kelolaan Ustaz Abdullah. Mesra dengan panggilan Ustaz Lah saja.
Tika masuk di sini, yurannya juga agak mahal. Tempat ke-2 mahal berbanding dengan 3 asrama lain. RM205 rasanya kalau tak silap. Namun, lojiknya, aku ke sekolah menaiki basikal, maka boleh katakan yuran asrama ini paling mahal kalau yuran bas tidak dimasukcampuradukkan sekali. Itu secara tak rasmilah. Di sini, kenangan berpuasa jauh dari keluarga bermula buat kali pertama dalam hidup aku. Berpuasa sejauh 400km lebih dari keluarga aku di Kuala Lumpur ketika itu. Tidak berkesempatan pun untuk menyambut hari pertama puasa dengan keluarga. Namun, aku tidak merasa sedih kerana mendapat pengalaman pertama manis menyambut puasa dengan kawan-kawan di asrama. Kenangan puasa yang sangat indah bila dikenangkan balik. Berumur 13 tahun, berjauhan dengan keluarga dan berpuasa dengan kawan-kawan. Syoknya duduk di Sri Werna ini, berdekatan dengan bandar Kota Bharu. Hanya berbasikal saja ke sana. Tidak risau langsung dengan petrol masa itu. Indahnya zaman 13 tahun itu. Boleh ke padang bas untuk membeli makanan untuk dijadikan juadah berbuka puasa jika bosan dengan masakan di asrama. Harganya pula sangat murah. Padang bas adalah nama untuk pasar malam jika di tempat lain. Banyak makanan yang sedap-sedap dijual di sini. Kebetulan, makanan Kelantan ini kena dengan citarasa aku. Manis. Murah juga. Lokasinya juga strategik. Berhampiran dengan setesen bas. Berdekatan dengan The Store dan Pantai Timur; tempat wajib untuk membeli belah barang keperluan bagi pelajar seperti aku.
Namun, setahun selepas itu, pengalaman berpuasa di perantauan berubah pula. Kenapa?
Nanti aku ceritakan lagi ya.
August 31st, 2008 at 11:00 pm
belum pernah merasa berpuasa jauh dari keluarga. tapi tahun ni semua tuh bakal berubah. aku akan pergi jauh ke benua lain, jauh dari keluarga tercinta. uwaaa! sahur nak mkn apa? buka nak mkn apa? mama tolong!!
;p