Bukan tempat melepak,membuang masa,mencarut tak tentu,melucah tanpa ragu-ragu dan lain-lain yang turut melanggar AUKU. Tapi,tempat berbincang,berdiskusi ilmu,berkongsi isu,berdebat dengan jitu dan seumpama yang di galakkan oleh U.


Archive for June, 2008


Screen and Talk : Filem Pendek

Tempat sama, di rumah PENA lagi. Cuma kali ini, dibuat di dalam rumah itu, bukan di luar. Anjuran Republic Theatre Production dan program seumpama ini adalah kali pertama diadakan. Ya, kredit buat Kak Adik kerana berjaya merealisasikannya dan boleh aku anggap satu perubahan yang baru dilakukan di rumah PENA yang mungkin selama ini hanya sinonim dengan baca puisi. Serius, aku suka idea Kak Adik ini. Program ini menghimpunkan sebanyak 4 orang pengarah muda bersama-sama filem pendek mereka masing-masing dan juga ada sesi diskusi filem pendek di akhir program.

Ok. Untuk program ini, dimulakan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan Unique Karya Community. Bagi aku biasa saja, cuma jika mereka lebih serius dan betul-betul, mungkin persembahan itu akan kelihatan lebih bertenaga. Dan, mungkin jika mereka kembali ke akar Melayu, persembahan itu akan kelihatan lebih dekat dengan khalayak yang kesemuanya adalah Melayu. Korang fahamkan apa maksud aku.

Kita pergi satu demi satu filem pendek. Bermula dengan Tenggiri arahan KC Jaja. Durasinya adalah 9 minit. Ikut sinopsis, ceritanya lebih kurang begini, tentang Arul yang terpaksa menjual adiknya sendiri kerana tidak boleh membayar hutang bos kawan baiknya, Coi. Bila baca, senang untuk difahami. Tapi, bila melihat filemnya, aku jadi pusing. Tak paham sangat. Sebab, banyak perkara yang buat aku kacau. Dari segi peralihan kamera yang selalu bertukar. Aku jadi pening. Maka, jalan ceritanya macam sudah tunggang langgang. Mungkin, pengarah cuba membuat kelainan dengan tidak mengikut turutan. Macam 1,2,3. Tapi, 1,3,2. Lebih kurang begitulah. Namun, dari segi lain, aku rasa ok dan perlu dipertingkatkan lagi dari segi kualiti.

Filem kedua, Mengait Bintang. Arahan Dean Sham. Dan, perencah utama filem ini adalah Nabil Raja Lawak. Ya, sesuai dengan gelaran itu, filem ini, memang lawak. Ada saja lawak yang cuba dilakukan oleh Nabil dalam keadaan bersahaja. Oh, jalan ceritanya begini. Mengisahkan Nabil, seorang artis yang cuba mendapatkan anugerah artis baru terbaik. Jadi, untuk itu, dia meminta pertolongan dari kawan lamanya, Prof. Abdullah seorang pensyarah. Memang banyak unsur sindiran diselitkan. Kebanyakannya mahu menyindir tentang sistem yang kita ambil dari luar, tapi tersalah tafsir tentang sistem itu. Seperti sistem 5S. Juga, ada sindiran pada pelajar Universiti yang suka menghantar assignment lambat dan aku rasa terkena apabila Nabil meyuruh pelajar itu membakulsampahkan assignment pelajar lambat itu. Haha.

Filem ketiga adalah Konsekuensi. Satu lagi karya kreatif arahan pengarah muda, Razaisyam Rashid. Memang menarik dari segi jalan ceritanya. Mungkin cuba mahu lari dari stereotaip filem-filem mutakhir ini, maka pengarah ini melakukan satu kelainan yang aku anggap segar dan berjaya. Kisahnya adalah tentang pandangan hidup seorang insan yang disampaikan dalam 4 bentuk yang berbeza. Mungkin, dalam kehidupan realiti ianya adalah mustahil. Mana mungkin jika sebuah kereta sudah mengalami kemalangan, kita boleh rewind kembali supaya dapat mengelakkan kemalangan itu. Tapi, dalam filem, tiada yang mustahi. Itulah yang cuba disampaikan dalam Konsekuensi. Seperti dialognya sendiri ” Filem tak sama dengan kehidupan”. Ah, menarik sekali filem sebegini. Dan, ketika menontonnya, aku terbayang juga satu filem yang kebetulan konsepnya hampir sama. Tajuknya adalah Run Lola Run. Siapa yang pernah menontonnya mungkin akan memahami maksud aku. Tapi, ketika aku bertanya, pengarah mengatakan ini adalah ideanya sendiri tanpa daripada mana-mana inspirasi pun. Oleh itu, kesegaran filem ini memang terasa. Dibantu pula dengan mainan kamera yang cantik dan lagu-lagu yang masyuk, menambahkan lagi kerangupan filem ini.

Filem terakhir diarahkan oleh Azri Abu Hassan bertajuk Di Sebalik. Mengisahkan tentang Maya, Ramli dan Amir yang masing-masing saling cuba mempergunakan kebolehan mereka untuk menguasai Warta Malaysia di mana subjek tamak dan dengki adalah tema utama filem ini. Seperti orang lain, aku juga sukar memahami secara sepenuhnya mesej-mesej tersembunyi yang cuba disampaikan oleh pengarah. Berat, memang filem ini berat buat penonton biasa seperti aku. Seperti kata Azri sendiri, jika mahu diterangkan semua mesej itu, sampai pukul 4 pagi tak selesai. Dan, tambahnya lagi, dia merasakan satu kejayaan jika khalayak gagal memahami filemnya. Maka, untuk diri aku, bolehlah aku anggap dia berjaya kerana aku gagal memahami sepenuhnya mesej-mesej Di Sebalik. Cuma, aku kurang setuju dengan adegan seksualti yang cuba ditonjolkan. Klise. Seolah-olah, wanita sekarang begitu murah untuk menjual maruah mereka kerana hendak mendapatkan sesuatu, sedangkan, pada zama sekarang, wanitalah yang paling banyak berjaya dan boleh bersaing dengan lelaki dalam apa jua bidang. Maka, mungkin cerita tentang Maya ini jarang berlaku di dunia realiti sekarang. Kalau ada, sedikit saja. Jadi, aku kurang bersetujulah bila wanita sering dianggap begitu.

Kemudian, usai semua filem ditayangkan, sesi diskusi bermula. Banyak soalan ditanya. Aku tidak terlibat kerana menganggap diri ini masih kerdil, maka lebih elok jika aku pasang telinga saja. Antara yang dibincangkan ialah tentang penglibatan pengarah masing-masing. Ada yang masih baru dan ada yang sudah lama. Kemudian, ada pula pandangan dari seorang abang berbaju- hitam-tak-tahu-namanya, katanya “Saya rasa, awak(KC Jaja) dah menghilangkan magic dalam filem awak kerana awak telah memberitahu penonton rahsia magic filem awak(dalam kes ini, ada penonton bertanya maksud tajuk filemnya, Tenggiri dan KC Jaja memberitahunya). Jadi, selepas ini, jangan beritahu. Biarkan penonton menilai sendiri”. Setuju. Bagi aku, jika sesuatu rahsia dibongkarkan, maka sudah hilang lemak filem itu. Maka, biarkan penonton mencari dan meneroka sendiri harta karun yang disembunyikan oleh pengarah dalam filem mereka itu. Lagi, abang itu cuba bertanya pada Syam, “Saya nampak awak macam tak yakin dengan visual filem awak. Awak menggunakan lagu untuk menyampaikannya. Awak patut lebih yakin dengan visual awak”. Syam membalas ” Sebenarnya, saya cuba menjadikan filem ini filem Rock n Roll, sebab itu saya banyak menggunakan muzik”. Lain-lain, berkaitan kos, pengalaman dan banyak lagi yang dibincangkan yang aku dah tak ingat.

Kesimpulan, aku memuji usaha Kak Adik yang cuba membuat pembaharuan. Sememangnya pembaharuan itu perlu dalam dunia global sekarang. Juga, untuk menarik lebih ramai orang muda turut serta dalam program diskusi ini. Mungkin, selepas ini, orang sastera boleh cuba membikin filem pendek pula. Aku yakin, hasilnya adalah lebih berseni dan cantik. Ya. Sastera di dalam filem. Tentu indah bukan. Tak sabar mahu melihat hasil sastera di zahirkan dalam bentuk visual pula. Mungkin aku boleh memulakannya? Hehe.

Menghitung hari mahu pulang…

30hb. Ya. Aku akan meninggalkan bandar metropolitan yang satu ketika dulu pernah ada pemimpin negara luar(Australia rasanya) kata, bandar yang mempunyai ramai wanita cantik dari fizikalnya. Itu kata dia. Kini, aku akan pulang ke kampung halaman di Timur untuk berjumpa keluarga…

Negeri yang menjadi juara SUKMA baru-baru ini. Inilah kampung halaman aku. Abah pun memang asalnya adalah orang sini. Dah pun beli tanah dan nampaknya, akan menetap selamanya kot di sini. Aku tak kisah. Suka juga. Bebas dari kesibukan dan cengkaman bandar metropolitan yang kehijaunnya kian kurang dek ketamakan dan haloba algojo-algojo. Ah. Tak sabar mahu pulang. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran ahli baru, legenda hitam yang akan memudahkan aku keluar bertemu taulan…

Hmm. Ok. Sekarang, agak banyak kerja perlu diselesaikan. Doakan agar aku berjaya bertukar program ya….

Mana Ia?

Rimas menerjah

Toleh kanan,

Kosong tiada ia

Toleh kiri,

Hampa, sama sahaja

Mana Ia?

Kawan sudah lama merungut

Tanda merah hampir didekati

Perut kosong wajib diisi

Jika tak

Buruk padahnya nanti

Sabar peneman setia

Pada diri yang gelisah

Mana Ia?

Warna bukan persoalan

Hijau, kuning mahupun biru

Tak dipedulikan lagi

Lebih penting

Hidup atau mati jadi taruhan

Dalam pekat malam

Kami membelah lautan kekuningan

Penat lelah kami tempuhi bersama

Tapi, dia lebih sengsara

Tetap jua diharunginya hingga hujung nyawa

Ah,

Tanda E itu semakin dekat

Aku hanya mampu melihat

Hanya kuasa Tuhan dapat merobah

Doa serta tawakal pelengkap lelah

Yang kian dilanda musibah

Dalam cengkaman gelap

Dari jauh sayup-sayup cahaya

Memanggil kami berdua

Seakan mengerti jeritan sukma

Semakin dekat, dekat dan tiba

Alhamdulillah kami serentak

Di bangunan hijau

Kami disapa rakan-rakan

Yang turut kehausan

Setelah perjalanan panjang

Hazwan

-Pencarian emas hitam-

Abah, terima kasih atas segalanya-Selamat Hari Bapa-

Aku ada seorang sepupu. Anis namanya. Lelaki. Aku dan dia sebaya. Dan, dia juga sulung seperti aku, dan juga ada lima orang adik-beradik. Kami memang rapat. Selalu bermain bersama-sama sejak kecil lagi. Walaupun, hanya ketika cuti sekolah saja aku berpeluang pulang ke kampung di Klang, namun, hubungan aku dan dia tetap akrab. Betullah kata orang, masa dan jarak bukan pemisah hubungan. Ingat lagi, masa masih kecil-kecil, banyak permainan kami telah mainkan bersama. Rumah Wan (panggilan untuk nenek aku) yang boleh tahan besar itu juga menjadi tempat pilihan kami untuk bermain. Biasanya kami bermain di beranda luar rumah yang dikelilingi tembok setinggi semeter. Di tembok itu, kami selalu akan memanjatnya dan kemudian melompat ke bawah seolah-olah superhero yang boleh terbang. Selalunya, Ultramanlah yang menjadi pilihan. Kadang-kadang, aku menjadi raksasa, kadang-kadang aku menjadi Ultraman menentang raksasa. Dan dia serta seorang lagi sepupu merangkap adik lelakinya akan turut menyertai permainan Ultraman melawan raksasa ini. Bila dah bosan dengan Ultraman, tukar Kesatria Bajak Hitam pula. Kadang-kadang Gaban pun ada. Ikut musim hero mana yang popular.

Ah, indahnya kenangan zaman kanak-kanak dulu. Dalam fikiran hanya tahu berseronok saja. Tak perlu susah-susah berfikir seperti dewasa sekarang. Dan, malam pula, kami bertiga akan melakukan aktiviti memasak pula. Biasanya, nasi goreng menjadi eksperiman masakan kami. Ketika seisi rumah sedang lena diulit mimpi, kami pula sedang sibuk di dapur menyediakan bahan-bahan memasak. Semua ada tugasnya. Dari memotong bawang, menanak nasi, memotong ayam dan panaskan minyak atas kuali. Ketika memasak, kami bertiga akan bergilir-gilir memegang sudip kononnya seperti Chef. Macam-macamlah benda mahu dibubuh ketika giliran bertukar tangan. Ada mahu ditambah kicap, ditambah sos cili, ditambah garam dan gula. Apa pun, selepas siap masak, kami akan makan bersama- sama. Ketika ini, sudah bertambah pula bilangan pengunjung. Hehe. Aunty atau mama akan bangun dan menjenguk kami di dapur. Mungkin risau dan takut kalau-kalau ada perkara tak diingini berlaku. Usai masak, mereka akan menjadi juri hakim, menilai masakan kami. Jawapan klise yang biasa kami dengar “Ok lah. Pandai juga kamu semua memasak ya”. Walaupun hakikatnya tak sedap, tapi mungkin mereka mahu menjaga hati kami yang masih kecil ketika itu. Itu antara pengalaman menarik aku bersama sepupu aku…

Satu perkara yang sering aku mencemburui sepupu aku ialah kemewahannya. Memang, dia boleh aku kira anak orang berada. Selalu, benda yang hanya aku boleh ilusikan saja akan menjadi realiti di tangan dia. Seperti handphone. Ketika tingkatan 3, dia sudah pun memiliki asset yang ketika itu, jika seorang remaja memilikinya, maka dia dianggap kaya. Ya, lambang kekayaan seorang masa itu diukur berdasarkan handphone yang dimiliki. Yang aku tahu, papanya rajin bekerja, atau senang kata, workaholic@gila bekerja. Selalu buat overtime, sampai hari Ahad pun dia kerja. Malah, banyak kali aku lihat, ketika datang ke rumahnya, kereta papanya akan berubah bentuk dan warna. Pernah aku bertanya pada abah, tak nak ke abah jadi macam papa Anis, dan abah menjawab dengan penuh makna, “ Buat apa nak kerja sibuk-sibuk kalau tak ada masa untuk keluarga. Untuk anak-anak”. Ah, aku betul-betul tersentak ketika itu. Betapa jawapan luhur dari seorang ayah kepada anaknya yang masih tak mengerti apa-apa ketika itu. Betul, sepupu aku itu, kaya dari segi zahirnya, tapi sebenarya, dia miskin dari batin. Miskin kasih sayang terutamanya dari seorang ayah. Pernah, aku terdengar curi perbualannya dengan aweknya, dia berkata pada aweknya, “ Abang mana ada sape-sape yang sayang. Hanya awak je yang sayang kat abang”. Aduh, sedih aku dengar. Rasa seperti hati ini ditusuk dengan belati tajam. Aku dengar sendiri ayat-ayat sedihnya. Memang, aku sendiri nampak, hubungan papanya dengan anak-anaknya tidak rapat. Terlalu sibuk bekerja mengumpul harta dunia, maka anak-anak di rumah diabaikan. Dari satu sudut, aku berasa sangat bersyukur kerana abah bukanlah insan seperti papa sepupu aku. Kini, aku mengerti maksud di sebalik kata-kata abah dulu. Syukur aku dikurniakan seorang ayah yang baik dan mengambil berat akan hal anak-anaknya. Selama hampir 22 tahun aku hidup, rasanya banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh abah pada anaknya. Cuma, sifat abah, tidak suka menunjukkan kesusahan di depan anak-anaknya. Mama sendiri berkata, abah suka berahsia dengan anak-anaknya. Didepan kami, hanya senyuman saja yang mahu ditunjukkan, tapi, dibelakang, siapa yang tahu…

Aku kini merasa sangat bersalah. Pengorbanan yang telah abah lakukan selama ini, hanya sia-sia. Tidak membuahkan hasil.Kalau dianalogikan, sebuah pokok,selama 22 tahun, kalau dijaga dengan baik, disiram tiap hari, diberi baja yang berkualiti, tanah yang subur, maka sudah tentu akhirnya akan menghasilkan buah-buah yang manis dan sedap. Boleh dijual dengan mahal dan mendatangkan untung lumayan. Tapi aku, setelah 22 tahun bukan saja tidak berjaya menghasilkan buah, malah tidak berbunga pun. Betapa aku baru sedar kini, aku terlalu leka dan asyik dengan keseronokan masa muda aku hingga aku lupa tanggungjawab aku sebagai seorang anak. Terlalu mahu berseronok, mahukan kesenangan hinggakan aku terlupa, untuk aku mencapai kesenangan seperti ini, abah pula perlu bersusah payah mencari wang untuk menanggung kehidupan anak-anaknya. Ah, memang manusia cepat lupa. Bukankah sejarah banyak mengajar tentang ini semua. Memang, aku telah berjaya mendapat keputusan cemerlang di sekolah menengah hinggakan matrikulasi, tapi, di alma mater ini, semua itu sudah tiada. Aku hanya memberikan kegagalan pada abah. Tapi, abah menerimanya dengan hati terbuka. Tidak marah. Malahan, memberi nasihat agar aku tersedar dari lamunan imaginasi. Alangkah bertuahnya aku…

Tahun depan, genaplah usia abah 50 tahun, manakala aku pula mencecah 23. Namun, aku tak pasti, adakah aku sudah mampu berbuah untuk abah nikmati. Setelah separuh abad, aku pasti, kudrat abah sudah tidak segagah aku yang masih muda ranum ini. Rambutnya sudah banyak yang putih dari hitam, seakan-akan membenarkan lagi kata-kata aku tentang kudratnya. Kadang-kadang, aku berasa bersalah kerana masih tidak mampu membantu abah mengurangkan beban keluarga. Lebih-lebih lagi pada kehidupan pasca milenium yang kian mencabar ini. Hanya bergantung pada sumber one man income, dan tanggungan 5 orang adik beradik yang semuanya sedang melangsungkan pelajaran, lebih banyak wang diperlukan. Aku tak mampu buat apa-apa…

Mengeluh dan putus asa bukanlah penyelesaian positif. Itu kata-kata biasa didengari. Ya. Benar kata itu. Aku sedar, aku tidak patut mengeluh apatah lagi berputus asa. Kejayaan tidak akan bergolek datang sendiri tanpa melakukan apa-apa. Usaha berterusan itu penting. Kini, aku perlu bangkit kembali. Bangkit dari kegagalan lampau, kegelapan lalu dan berusaha mencipta kejaayan sendiri. Buat tatapan abah dan mama. Aku mahu membalas kembali jasa abah. Aku tidak akan sia-siakan setiap titik peluh yang keluar dari liang badannya. Ini janji aku. Janji seorang anak pada ayahnya. ‘Akan aku sinari kembali permata itu’…

Pada abah, Selamat Hari Bapa. Terima kasih atas segalanya…

NAIK ≠ MURAH

NAIK SUDAH,

DULU KATA TAK NAIK,

LUPAKAH,

KATA-KATA ITU,

WAHAI SUKITILOP,

LA, BARU TAHU KE…

KATA-KATA MEREKA…

MANA BOLEH DIPERCAYAI…

TAPI,

DIA SUDAH BERJANJI BUKAN,

AHH, JANJI HANYA SESUAI BILA TERDESAK…

BILA TERGUGAT MAHU KALAH…

TAK TAKUT DENGAN DOSA KE?

DOSA, HA HA…

ITU MAKANAN RUTINNYA SETIAP HARI…

APA NAK DITAKUTNYA…

BAGAIMANA MAHU TURUN?

MUSTAHIL, LEBIH-LEBIH DI NEGARA SELALU BOLEH INI…

‘TURUN’ TIADA DALAM KOSA KATA MEREKA…

TAK KASIHAN PADA MARHAEN KE?

‘KASIHAN’ TIADA DALAM KAMUS MEREKA…

TIDAK MAJU KALAU WUJUD PERKATAAN ITU…

JADI, APA BOLEH DI LAKUKAN?

USAHA, DOA DAN TAWAKAL,

UBAH CARA HIDUP?

HA HA HA,

HIDUP SUDAH LAMA DIUBAH,

SEJAK ZAMAN MILENIUM LAGI,

TIADA APA DAPAT DIUBAH LAGI,

BERJIMAT-CERMAT?

ITU HANYA SESUAI PADA HAMBA DUIT,

YANG HANYA TAHU MENGUMPUL ,

TAK MEMBERI PADA YANG MEMERLUKAN,

TAPI, MEREKA…

SUDAH,

INGAT INI,

NAIK ≠ MURAH

Kapal Kertas : Mencari cinta sejati

Pertama-tamanya, aku juga ingin menjerit sekali “ Kapitalis bangsat”. Ah, terrasa lega sekejap hati kecil ini. Sebetulnya, tema kecil yang cuba disampaikan oleh pengarah dalam filem pendek terbarunya ini memang betul. Kapitalislah kini yang menentukan ekonomi dunia dan paling menyedihkan, kebanyakan kapitalis bukanlah yang seagama, dan sebangsa dengan aku. Banyak didominasi oleh bangsa Barat yang tiap hari tak sudah-sudah membawa bencana pada manusia, yang beragama Islam khasnya…

Kapal Kertas, sebuah karya yang aku anggap lain dan berbeza. Ditulis, diarah dan dilakonkan sendiri oleh Fazleena Hishamuddin@Kak Adik. Di awal cerita, ditunjukkan dahulu satu analogi menarik. Kaitan antara kehidupan dan kapal kertas. Aku memang suka dengan analogi seperti ini kerana ia memaksa aku berfikir apa yang cuba disampaikan oleh pengarah tentang analogi kapal kertas itu. Hidup ini memang ibarat kapal kertas yang dilepaskan ke air, tak tahu ke mana arah tujunya. Semuanya bergantung pada faktor-faktor lain dan dalam hal kapal kertas ini, mungkin bergantung pada faktor tiupan angin, aliran air, cuaca dan sebagainya. Tahniah kerana berjaya memberikan sebuah analogi menarik yang mengandungi banyak makna tersirat dan pengajaran berguna disebaliknya…

Filem ini semacam cuba merubah tanggapan orang ramai tentang cinta, tema utama yang cuba diangkat oleh pengarah di dalam filem ini. Selari dengan tagline filem ini, no one should surrender in the fight of love. Cinta itu universal maknanya. Ada cinta dengan si pencipta dan cinta dengan yang diciptakan. Dan, pengarah memilih untuk menyampaikan tema cinta dengan yang diciptakan. Sesama manusia. Secara fitrahnya, semua manusia yang normal mahukan itu. Begitu juga dengan Dewi, watak utama di dalam filem ini. DIa masih mencari-cari cinta yang tidak ditemui. Bukan kerana memilih, tapi dia mahukan cinta sejati dan berharap lelaki yang ditemuinya kelak akan merubah hidupnya. Dewi tidak seperti gadis-gadis lain kerana di awal filem ini, dia sendiri berkata, “Aku tidak mahu menjadi gadis yang tipikal. Gadis yang lemah, tak yakin dengan diri, tak bijak dalam membuat keputusan dan berfikir dalam kotak saja “. Dari situ, jelas menunjukkan Dewi ini seorang gadis yang unik dan lain daripada gadis tipikal yang lain. Dia lebih suka hidup keseorangan, ditemani oleh gitar dan buku-buku puisinya. Chairili Anwar dan Khalil Gibran adalah peneman setianya. Dari satu sudut, aku lihat Dewi ini sangat meminati tokoh-tokoh sastera amnya dan puisi khususnya. Seuatu yang jarang ada pada gadis sekarang. Itu yang positif. Dari sudut berbeza, aku lihat dia semacam lebih senang bersendirian tanpa teman. Dari situ, aku ternampak kelemahan gadis cantik ini. Dari segi percintaan dan perkahwinan, gadis yang berumur lewat 20-an ini dilihat terlalu berhati-hati mencari pasangan hidupnya. Mungkin mahukan yang terbaik dalam mencari pasangan hidupnya biarpun ramai jejaka menaruh minat padanya, dia menolak kerana masih mencari, cari dan cari. Pegangan hidupnya dapat dilihat dengan katanya “Berapa kerap agaknya kita bertemu dengan orang yang betul sebagai teman hidup kita”. Dari situ, aku cuba simpulkan yang Dewi pernah mengalami pengalaman pahit dalam bercinta sebelum ini, oleh sebab itu dia menjadi seperti sekarang, mengambil langkah berhati-hati mencari teman hidup…

Namun, semua itu seakan berubah sebentar apabila Dewi terjumpa dengan seorang jejaka Melayu di Stesen KTM sewaktu sedang menunggu tren. Ilham Hakimi namanya. Dengan seluar jeans lusuh, hanya bert-shirt biasa dan berambut panjang, first impression masyarakat pada manusia sebegini biasanya, akan menelah Ilham mungkin seorang kutu rayau atau bahasa kasarnya sikit, tak nampak cerdik. Itu biasa kerana manusia memang suka menilai penampilan orang itu dahulu. Ibarat peribahasa suku-sakat Johnny Depp(aku perasan Dewi adalah peminat aktor versatil ini kerana di dinding biliknya ada ditampal gambarnya dan dalam hal ini, kami berdua sefahaman kerana aku juga peminatnya), don’t judge a book by its cover. Tapi, telahan dangkal itu silap. Jejaka ini bukan seperti yang difikirkan. Dia memiliki pengetahuan yang mendalam tentang puisi dan mengenali tokoh-tokoh puisi dan menghafal bait-baitnya sekali. Dari situ, aku simpulkan yang Ilham ini adalah seorang yang bijak walaupun mungkin dari sudut penampilannya menafikan dia kelihatan sebegitu. Perkenalan Dewi dan Ilham bermula dari puisi. Romantis. Hubungan mereka bertambah akrab dan selalu berjumpa selepas itu kerana memiliki minat yang sama.Dari situ, aku dapat lihat saga hubungan mereka yang semakin bertambah rapat. Tapi, yang menjadi kemusykilan ialah, jenis hubungan mereka berdua. Pandangan aku, hubungan mereka adalah hubungan platonik semata-mata. Tak lebih dari itu. Kerana dapat dilihat dari segi perbualan mereka yang menggunakan kata ganti nama aku dan kau yang jelas menunjukkan tiada unsur percintaan sesama mereka…

Klimaks filem ini ialah apabila Ilham tiba-tiba menghilangkan diri. (Aku tak pasti dan tak diberitahu pun kenapa dia tiba-tiba menghilangkan diri). Akibatnya, Dewi yang sudah mula menaruh hati pada Ilham berasa begitu kecil hati dan kecewa. Dia mula menjadi Dewi seperti sebelum ini. Tiada lagi senyuman kelihatan. Hanya masam di mukanya. Namun, hal ini segera terjawab apabila suatu hari, Dewi ternampak Ilham bersama seorang perempuan lain. Perempuan tanpa nama dan tanpa dialog itu disangkakan oleh Dewi sebagai teman baru Ilham. Terjawab sudah persoalannya. Dia mula menganggap Ilham sama seperti lelaki lain yang hanya tahu memainkan hati wanita…

Di akhir cerita ini, ada diterangkan mengapa Ilham berbuat demikian, tapi aku kurang jelas sebabnya meninggalkan Dewi. Mungkin ada lapisan yang aku tak dapat nak capai di akhir cerita ini membuatkan aku sedikit keliru dan tidak faham. Dan, ditunjukkan sekali lagi analogi kapal kertas di penghujung filem ini juga…

Satu persoalan, aku dapat rasakan watak Dewi ini bukanlah satu watak rekaan, ia semacam satu watak yang hidup di dunia realiti ini. Tak pasti siapa gerangannya, atau mungkinkah Dewi itu sebenarnnya merujuk pada pengarahnya sendiri? Tak tahu. Kena tanya pada pemilik badan…

Untuk penambahbaikan, aku ada sedikit mahu dinyatakan. Pada temph 9:20 hingga 10:13, ketika Ilham bingkas bangun apabila Dewi bertanyakan kenapa dia suka mengambil gambar-gambar bertemakan kesengsaraan, aku terasa kacau kerana tidak kelihatan mukanya. Hanya kaki hingga paras pinggangnya saja nampak. Seolah-olah kedua-dua ini yang sedang bercakap dan terasa rugi kerana dialog yang hendak dilontarkan adalah sangat menarik dan bermakna. Jadi, kepada cameraman, rasanya kalau dinampakkan seluruh tubuh dengan mukanya sekali mungkin lebih sesuai dan menarik. Itu padanagan peribadi aku saja. Mungkin ada maksud terselindung yang aku tak tau kenapa ianya menjadi begitu. Jadi, kalau boleh diterangkan pada aku,lagi bagus rasanya….

Sekian. Harap, segala apa yang diulas boleh diterima dengan positif dan kalau ada yang tak betul, tolong betulkan. Dengan akal dan bukannya emosi ya. Terima kasih.

Majlis Pelancaran 14 Novel Penulis KEPEZI dan Wacana Ilmu…

Rasa bertuah lagi diri ini kerana dapat menghadiri majlis seumpama ini. Itupun, setelah saudara Azriq mengajak aku untuk turut menyertainya sekali dalam majlis ini. Terima kasih Azriq kerana sudi mengajak. Sebelum ini, aku ada terbaca tentang Majlis Pelancaran 14 Novel Penulis KEPEZI yang akan di adakan di Dewan Seminar DBP pada 7 Jun 2008 ini di dada akhbar tempatan, cuma tak sangka aku berpeluang menghadirinya dan menjadi salah seorang saksi dalam upacara bersejarah buat 14 penulis KEPEZI tersebut. Bertuah sungguh. Syukur Alhamdulillah. Aku dan Azriq agak terlewat satu jam daripada jadual sepatutnya. Pukul 9.30 pagi baru kami berjaya menjejakkan kaki ke dewan seminar tersebut. Masuk saja kedalam, kedengaran suara Pak Samad sedang menyampaikan ucapan aluan dan perasmiannya. Ah, kebetulan Kak Hani Salwah juga turut hadir, maka kami bertiga duduk sekali di barisan sama…

Barisan 14 penulis KEPEZI bersama-sama SN A. Samad Said dan Zaharah Nawawi (7 dari kiri) bergambar kenang-kenangan

Banyak input yang telah aku dapat dalam majlis pelancaran dan juga wacana ilmu yang telah diadakan selepas usai sesi perasmian. Input paling penting sudah tentulah tentang KEPEZI itu sendiri. Buat pengetahuan semua, Kelab Penulisan Zaharah Nawawi ini ditubuhkan oleh Zaharah Nawawi sendiri pada November 1997. Sudah lama bukan, dan baru tahun ini aku terdengar akan kewujudan kelab seumpama ini. (Berikut adalah dari petikan yang aku salin bulat-bulat dari makalah, Dr. Mawar Shafie sewaktu sesi wacana ilmu, KEPEZI: Model kelab penulis rumus kreativiti zaharah nawawi). Menurut penerima SEA Write Awards 1996 ini, cetusan idea membimbing penulis baru adalah berdasarkan pengalamannya selama 30 tahun bekerja di media massa arus perdana-akhbar dan majalah- di mana peranannya adalah mengelola ruangan cerpen dan puisi, beberapa kali menjadi panel penilai pertandingan menulis cerpen, menemukannya penulis berbakat besar dalam penulisan karya kreatif. Kebanyakan mereka mampu membawa isu dan cerita yang menarik, namun manuskrip yang disertakan sangat lemah dari segi penyampaian khususnya secara berseni. Atas hasrat untuk membantu mengatasi kelemahan itu, Zaharah Nawawi mula mengadakan bengkel penulisan secara persendirian. Matlamatnya hanya mahu melahirkan “penulis bermartabat dengan kebolehan semulajadi yang sedia ada”.

Dan, tambahan info, kelab ini tidak dibiayai oleh mana-mana badan atau pertubuhan atau pun perseorangan. Semua sumber kewangan datangnya daripada ahli KEPEZI sendiri di mana syarat untuk menjadi ahlinya hanyalah perlu menyertai bengkel-bengkel yang dianjurkan dan automatik akan bergelar ahli KEPEZI. Tiada yuran keahlian dikenakan juga. Walaupun bayaran bengkel yang dikenakan kelihatan mahal, (sekitar RM300), namun dari segi logikanya, menurut Dr. Mawar Shafie lagi, “ Bayar sendiri untuk ilmu” selain ia juga sebagai dalil keyakinan bahawa walaupun “terpaksa” membayar yuran yang “tinggi” namun ganjaran yang bakal didapati adalah jauh lebih “mahal”. Setuju. Aku setuju dengan perkara ini. Takkan asyik nak free je kan. Lebih besar pengorbanan yang dilakukan (melabur wang ringgit), lebih besar hasil yang bakal kita perolehi…

Kesimpulannya, aku memandang penyertaan aku dalam majlis ini (walaupun aku bukan ahli KEPEZI, suatu hari nanti, Insyaallah) sebagai bermakna dan positif. Boleh dijadikan platform untuk aku bergelar penulis kreatif. Mungkin bukan masa terdekat ini, tapi aku yakin, tiada yang mustahil di dunia ini kalau kita yakin pada Allah swt. Dan, sebagai kejutan, semua 14 penulis novel ini, adalah lebih tua dari aku yang pada mulanya aku sangkakan sebaliknya. Dari situ, ianya membari motivasi pada aku yang, walaupun pada usia 22 tahun baru aku mahu bermula dalam bidang sastera ini, Insyaallah, jika aku konsisten dan semangat dalam memperjuangkannya, tidak mustahil suatu hari nanti aku sendiri pun akan dapat  menjadi seperti 14 orang penulis novel KEPEZI ini. Dan akan menyertai sekali lagi majlis seumpama ini, kali ini bukan sebagai peserta lagi, tetapi sebagai penulis yang duduk dihadapan sekali melihat novelnya mahu dirasmikan. Hanya masa yang menjadi saksi…

Malam Membaca Puisi di Rumah PENA…

Malam 6 Jun 2008 merupakan malam bertuah buat aku. Jika malam sebelumnya adalah malam yang malang ekoran kenaikan mendadak dan melampau emas hitam di Bolehland, malam ini aku anggap malam bertuah buat aku. Kali pertama menjejakkan kaki ke rumah Pena yang letaknya kurang 200 meter dari bangunan DBP untuk mendengar para penyajak membacakan sajak mereka. Terima kasih aku ucapkan pada penjemput, Kak Adik yang memang bermurah hati menumpangkan aku sekali untuk sama-sama ke destinasi yang sama, rumah PENA…

Kali pertama aku berjaya melangkah masuk ke tempat seni ini, aku rasa sungguh bersyukur. Jika sebelum ini, biasanya aku hanya mendengar dendangan sajak di kaca tivi. Kali ini, dapat melihat di hadapan mata dan mendengar dengan dekat. Syukur pada tuhan. Para penyajaknya pula bukanlah calang-calang orang. Lihat dari gaya mereka saja aku sudah tahu dan dapat lihat kehebatan mereka. Lebih-lebih hebat tika mereka beraksi di depan. Kak Adik juga adalah salah seorang penyajak yang dijemput oleh rumah PENA untuk mendendangkan sajaknya. Pada malam itu, antara penyajak lain yang turut serta ialah AGI, Sutung Umar RS  dan 2@3 orang lagi yang aku sudah terlupa nama mereka…

Antara penyajak yang aku gemari ialah AGI dan Sutung Umar RS. AGI atau nama panjangnya Abdul Ghafar Ibrahim tidaklah bersajak yang pada mulanya aku sangkakan sebegitu, tapi kata Kak Adik, dia menyampaikan gurindam. Ya. Itulah kali pertama dalam hidup aku mendengar orang bergurindam. Lucu bukan. Hampir 22 tahun, barulah malam tadi aku berpeluang mendengarnya. Sebab itu aku kata di awal tadi, malam yang bertuah buat diriku. AGI menyanyikannya dengan penuh semangat yang juga adalah memang sifat semulajadinya, bak kata Ajun yang merupakan anak muridnya di UiTM. Selain lontaran suara yang padu, sememangnya aku tak nafikan AGI memiliki kemerduan suara yang lebih sedap daripada sebilangan penyanyi muda di tanah air ini. Dua kali dia beraksi, dan dua kali juga aku terpegun tanpa sebarang reaksi…

Sutung Umar R.S pula aku gemari kerana kespontananya. Dia memang seorang yang kelakar. Lelucon kecil yang dibuatnya berjaya mencuri hilai tawa dari penonton termasuk aku. Aksinya yang bersahaja juga turut menarik minat aku untuk lebih terus mengikutinya sehingga habis sajaknya habis dibacakan. Itulah bisanya apabila orang lama beraksi…

Bagi persembahan Kak Adik pula, dia menyampaikan lagu puisi yang diambil dari lagu tema filem pendeknya, Kapal Kertas yang juga adalah arahannya sendiri. Anak muda yang berbakat besar ini menyampaikan lagu puisi dengan bantuan sang pemain gitar, Alis merangkap adiknya dan memang aku dapat lihat betapa gadis muda ini begitu sungguh dan bersemangat ketika menyanyikan lagu puisi ini. Abaikan masalah suara atau gitar kerana itu hanyalah perkara remeh yang boleh dibakulsampahkan saja. Yang penting, isinya dan bagaimana gadis muda ini gigih memperjuangkan karya bangsa yang makin kurang diminati golongan muda masa kini. Untuk persembahannya yang kedua, gadis cantik ini telah membawakan sajak nukilannya sendiri yang diberi nama, “Apabila Sang Wanita Bersuara” dan aku rasa persembahannya kali ini adalah lebih baik dan meyakinkan. Mungkin mengambil pengajaran daripada yang pertama tadi lalu ditebusnya pada yang kedua…

Rahimidin Zahari juga beraksi pada malam itu walaupun bukan penyair jemputan

Para penyajak lain yang tidak disebut namanya juga semuanya bagus belaka. Maaf kerana tidak dapat mengingat nama kalian semua, jadi aku tak berani untuk membuat ulasan. Dan tambahan untuk malam bertuah ini, penonton disajikan pula dengan persembahan tradisional oleh pelajar dan tenaga pengajar ASWARA. Persembahan berbentuk muzik ini mendendangkan lagu tradisional Cik Siti Wan Kembang iaitu, lagu Wayang Kulit dan lagu . Juga, ada persembahan daripada Mek Salam Pantai Timur yang turut menyumbangkan sajaknya dan menyanyikan lagu Makyong selepas itu. Sangat menarik dan asyik sekali bila didengari…

Persembahan dari ASWARA

Keseluruhannya bolehlah aku katakan, aku mula tertarik dengan dunia puisi ini. Semacam ada sesuatu yang sudah kian lama tidur dalam diri ini mula bangkit. Harapnya biarlah ia berjaga dan tidak tidur kembali. Aku tahu, cabaran yang besar untuk kekal minat pada bidang yang cenderung dianggap sesuai untuk mereka yang berusia sahaja ini sangat besar dan berat. Mungkin, suatu hari nanti, aku pula akan berpeluang menjadi penyajak seperti penyajak-penyajak yang aku sebutkan tadi dan berpeluang juga bersajak di Rumah PENA. Tapi, biarlah itu berlaku apabila aku sudah cukup bersedia dengan ilmu di dada. Masih banyak yang perlu aku pelajari sebelum aku dapat jadikan ilusi itu realiti…

*Kepada Kak Adik dan Co, aku ucap berbanyak terima kasih kerana sudi mengajak aku. Oh ya, nanti aku akan cuba beri sedikit ualasan tentang filem pendek Kapal Kertas itu. Hehe

JOM NAIK BASIKAL

Aku dalam usaha sedang mempromosikan seruan murni pada semua rakyat Malaysia amnya dan semua pelajar khasnya untuk sama-sama kita berbasikal ke mana-mana. Langkah ini penting ekoran kenaikan melampau harga minyak (naik RM0.78) dan hal ini sudah tentunya membebankan lagi rakyat Malaysia yang memang dah terbeban dengan pelbagai masalah lagi. Juga pada semua mahasiswa yang bijaksana, aku tahu masalah kita semua kerana aku juga mahasiswa seperti kalian,  bila naik  minyak ni,eh  minyak naik,  maka  kita pasti ada yang akan naik minyak, eh belanja kita naik. Aku begitu juga. Berapa sangatlah PTPTN tu. Tak cukup satu sem nak hidup kalau bergantung pada tabung yang dah nak kering tu. Jadi, kat sini aku cuba untuk memberi alternatif lain. Mungkin kerajaan terlupa nak beri alternatif lain sebelum naik minyak, eh menaikkan harga minyak. Kan banyak lagi perkara penting perlu mereka fikir. Mungkin sebab tu mereka lupa nak sediakan alternatif pada kita semua sebelum naik minyak, eh menaikkan harga minyak. Yelah, mereka pun manusia macam kita semua. Mesti ada kelemahankan. Jadi, aku cuba untuk menolong kerajaan dalam hal alternatif ini. Mudah, murah dan tak naik minyak, eh tak guna minyak. BASIKAL

Ya. Sejak dah dewasa ini, kita terlupa dengan kenderaan pertama yang kita selalu guna sewaktu masih hingusan dulu. Kenderaan yang rajin memberi luka dan parut pada tubuh badan kita. Kenderaan penting yang menjadi tali penghubung antara kita dan padang permainan, yang jadi penghubung antara emak kita dan kedai runcit apabila dia menyuruh kita, selaku anak yang taat membeli barang dapur dan baki duit yang lebih akan masuk kocek kita. Itulah BASIKAL

Tak nak berceloteh panjang. Di bawah ini, ada aku tunjukkan jenis-jenis basikal yang pada pandangan aku sesuai untuk ditunggangi oleh setiap lapisan masyarakat, hatta pemimpin kita sekalipun…

Pertama

Basikal ini, aku cadangkan pada mereka yang sudah tua. Berumur kata orang. Yang kubur kata mari, rumah kata pergi. Sesuai untuk di bawa ke masjid atau surau yang berhampiran.

Kedua

Basikal ini pula sesuai untuk mereka yang tinggal di bandar. Urban style kata bahasa ibunda Johnny Depp. Sure kalau awek tengok orang urban bawak basikal ini mesti terpikatlah dia.

Ketiga

Basikal ibu. Para ibu digalakkan mengguna basikal ini kerana kemudahan yang disediakan. Terdapat dua biji bakul yang agak besar dan boleh memuatkan banyak barang. Jadi, sesuai digunakan ketika pergi ke pasar atau kedai runcit membeli barang dapur.

Keempat

Basikal romantik ini sesuai buat mereka yang dah berpasangan. Bayangkan, petang-petang pergi jalan-jalan di taman hanya berdua-duaan. Wah, sungguh romantis sekali. Macam dalam filem Maria Mariana. Cuma basikal je berbeza. Boleh menambaheratkan lagi hubungan sesama pasangan. Sesuai untuk suami isteri, anak dan bapa@emak atau untuk couple.

Kelima

Yang ini pulak, pada mereka yang sukakan motor besar, tapi duit tak besar. Boleh membeli basikal berkuasa besar ini. Ditambah dengan jaket kulit, jeans dan boot. Peh, memang berjiwa besarlah kalau tunggang basikal besar ni.

Keenam

Basikal untuk keluarga. Sangat sesuai pada mereka yang mempunyai keluarga agak besar. Cukup untuk enam orang.

Ketujuh

atau

Ha. Ini paling special. Saja aku simpan basikal ini yang terakhir. Kata bahasa ibunda Johnny Depp lagi, save the best for the last. Basikal pemimpin.  Ada dua pilihan. Yang pertama dah biasa kita tengokkan. Yang kedua tu, keistimewaannya ialah, ada tali pinggang keledar. Memandangkan Menteri Pengangkutan dah mewajibkan pemakaian tali pinggang bermula bulan Jun ini, maka aku rasa pilihan kedua adalah paling tepat buat pemimpin kita. Kenapa ada 2 seat? Ok. Seperti semua dah tahu, pemimpin kita kebanyakannya dah senja, kudrat dah lemah. Ditambah bebanan kerja yang memerlukan mereka berfikir, takkan nak suruh mereka bawak sendiri basikal ni. Semput. Jadi dengan adanya tambahan lagi 1 seat, bolehlah mereka menggajikan seorang driver. Kita rakyat pun, perlu ada rasa kasihan pada pemimpin kita. Asyik mereka saja yang ‘kasihankan, kita. Betul tak?

Jadi bagaimana. Terdapat tujuh pilihan yang dah aku berikan. Pilihlah yang mana berkenan ya.

Selamat berbasikal.

* Lupa nak cakap, naik basikal tu, jangan lupa pakai topi dan alat-alat keselamannya sekali. Takut insiden masa kecik kita dulu berulang kembali.

** Kak Dik, nak basikal yang mana satu. Pilih. Nanti saya belikan. Hehe

‘Ubah cara hidup’…

Lagu paling popular mutakhir ini. Memang, selepas ini akan sentiasa berkumandanglah lagu popular ini di corong-corong radio ataupun di kaca tivi dirumah kita semua nanti. Jadi, siap siagalah halwa telinga kita untuk membiasakan diri dengan alunan-alunan indah lagi syahdu yang akan dinyanyikan oleh penyair/penyanyi yang berkaliber di kaca tivi atau corong radio nanti. Buat pengetahuan, tajuk lagu ini baru saja dinyanyikan malam tadi. Jangan lupa, siap sedia juga dengan persiapan mental yang rapi ekoran provokasi-provokasi yang akan dilakukan untuk memastikan lagu ‘Ubah Cara Hidup’ ini kekal menjadi juara di carta radio rakyat Marhaen…

Aku pun baru saja malam tadi terdengar kali pertama lagu ini dimainkan di kaca tivi. Boleh tahan juga walaupun pitchingnya agak lari ke laut. Laut mana, tak kisah asalkan bukan yang berhampiran dengan Pedra Branca itu. Video klipnya juga sudah ditayangkan sekali malam tadi dan hasilnya sangat kreatif. Mengambil seputar pemandangan di beberapa buah stesen minyak di seluruh Bolehland sambil banyak kereta samada keluaran Bolehland ataupun dari luar Bolehland sedang beratur panjang dan ramai-ramai mengeluarkan badan daripada tingkap sambil melambai-lambaikan tangan menyanyi lagu ini bersama-sama. Untuk nampak lebih harmoni dan ada unsur perpaduan, semua watak dalam video klip ini pula, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan bangsa asing lain pun ada (tapi sebagai atendan pam je lah ya.Hehe). Setiap kaum akan memakai pakaian tradisi mereka masing-masing. Ah, sungguh bersatupadu sekali. Dan di penghujung video itu, petugas stesen minyak itu dengan senyuman manis nampak gigi putih (yang ini wajib seorang perempuan cantik, putih melepak, mekap tebal, ada tulang pipi dan agak gedik-gedik sikit dalam lingkungan 20an, lagi bagus kalau wajah Pan Asia) sempat mempromosikan CD pada setiap orang di situ dan tambahan yang menarik ialah, ada promosi mengisi minyak dengan harga murah. Ya, RM1.92 sahaja. Video klip tersebut telah dihasilkan petang semalam dan pada sebelah malamnya telah disiarkan. Hebat bukan. Selepas menontonnya, aku tergamam seketika (air liur meleleh keluar dek terlalu kagum dan terpesona). Betapa Malaysia ini memang boleh. Mungkin boleh masuk bertanding dalam AJL ataupun ABPPBH ataupun ke Festival Cannes,eh tu bukan festival filem ke. Haa, MTV Asia award, dengar kata nak dianjurkan di Malaysia. Bolehlah masuk bertanding ya. Kalau ada undian sms, aku sanggup melabur untuk memastikan lagu ini menjadi juara. Walaupun mungkin tidak berkualiti, tapi itu tak penting. Kan sekarang ini yang paling penting adalah popular. Betul tak Mawi?

Ok. Dah cukup aku melalut. Sorry lah ya. Mukaddimah yang agak panjang. Sebetulnya, apa yang menjadi tajuk utama untuk entri kali ini bukanlah sebuah lagu, jauh sekali ada video klipnya. Yang aku nak bincangkan kali ini ialah mengenai, Bagaimana cara untuk mengubah cara hidup : Perspektif seorang pelajar? Tajuk yang agak menarik ya. Jadi, dah nama pun berbincang, apa lagi, gelanggang silat dah dibuka, masuklah semua ya…

* Ok. Siapa ada cadangan bernas…