Bukan tempat melepak,membuang masa,mencarut tak tentu,melucah tanpa ragu-ragu dan lain-lain yang turut melanggar AUKU. Tapi,tempat berbincang,berdiskusi ilmu,berkongsi isu,berdebat dengan jitu dan seumpama yang di galakkan oleh U.


Archive for May, 2008


Cerita di PICC…

Pengalaman semua itu. Aku bermain kata dengan otak aku. Dia membalas pula, tapi letih ni beb, 15 jam kau kerja tanpa henti, kerja gila tu. Alah, duit punya pasal aku tak kisah. Lagipun, pengalaman semua itu…

Memang kerja gila bagi aku yang baru kali pertama berkerja di PICC dengan Eden Catering. Jadi pelayan juga, sama seperti di Marriott tempoh hari, cuma yang Eden halal, Marriott haram (sebab dia hidang arak). Hehe. Aku berkerja selama dua hari iaitu hari Sabtu dan Ahad. Dan, lagi satu perbandingan, kerja Eden ni lebih ringan berbanding dengan Marriott (pandangan aku saja). Cuma yang meletihkan adalah waktu nak mengemas. Fuhhh. Memang sakit dan emosi. Masa tu, motivasi diri adalah sangat penting untuk kau meneruskan kelangsungan kerja kau. Jika tak, kau akan rebah. Menyerah. Seperti rebahnya Pulau Batu Putih atau kini dalam bahasa Singapuranya mereka panggil Pedra Branca.

Sedap bunyinya. Pandai sungguh mereka pilih nama. Memang mereka ni ada kebolehan memilih nama-nama yang sedap. Patutlah nama Temasik itu pun di ubah. Berbalik semula. Aku lihat, di riak wajah pekerja lain, sudah ramai yang emosi. Dah jadi kelat aku tengok. Tapi nak wat camne, kerja tetap kerja. Apa pun, ini sebenarnya pengalaman berharga buat aku…

Ok, biarlah aku ceritakan serba sedikit tentang kerja yang aku dah lakukan. Aku masuk kerja seawal jam tujuh pagi. Kerja pada pagi itu adalah menyiapkan makanan untuk sarapan pagi di Kafe PICC. Mujur pinggan dan cawan telah siap di atur di atas meja, jadi kerja aku bertambah ringan sedikit. Kalau tak, memang kenalah aku aturkan juga. Selain itu, aku kena angkat makanan yang dah siap di masak di dapur ke meja hidangan. Kena bersihkan meja selepas habis tetamu makan. Tengahhari pun sama. So, semua kerja ini tak berapa susah kerana di bantu juga oleh pekerja-pekerja lain. Dari UPM hanya dua orang iaitu aku dan abang Shahril. Yang lain, kebanyakannya dari Kolej Segi. Klimaksnya adalah pada sebelah malam, sewaktu nak berkemas. Ya. Inilah kemuncak segala acara. Ketika inilah seluruh tenaga kau akan di gunakan. Seluruh mental kau juga akan di paksa bekerja lebih masa. Bayangkan, dari 7 pagi sampai 11 malam. Susah nak bertahan. Tapi, macam aku kata tadi, motivasi itu mainkan peranan, mujur aku sudah merasakannya di Marriott sebelum ini, maka aku taklah terperanjat sangat. Dan, mujur juga aku sempat sampaki ke kolej sebelum pukul 12. Kalau tak, ceramah percuma daripada abang guard. Huhu…

* Hmmm, bila nak cukup 1900 ni…

Jalan-jalan ke Utara…

1.

Malam nan hening itu,

Dia berasa sungguh gundah, gusar,

Di sekelilingnya adalah orang-orang yang asing,

Cakap-cakap orang juga,

Perjalanan malam itu sangat jauh

2.

Malam itu dia juga berasa bimbang, risau,

Perjalanan malam sudah menjengah siang,

Sudah banyak daerah dicerobohi,

Namun, tapak bayang tempat itu masih kabur

3.

Kini,

Di kala siang yang riang ini,

Dia mula serasi,

Dengan rakan juga pengiring,

Rasa, bersilih ganti menjadi gembira

4.

Siang ini dia sudah riang,

Sudah tiba di destinasi di Utara,

Alma mater ini sungguh gah,

Kaya dengan pemandangan indah,

Benar kata taulannya,

“Jauh perjalanan, luas pemandangan”

(di UUM untuk kursus MC MAKUM)

Heanse #1

???

Aku berasa pelik dan hairan kebelakangan ini, jiwa jadi kacau, sukma jadi bilau. Mimpi yang misteri mendatangi aku. Seolah-olah tiada penghujungnya…

Perkataan misteri ini. Siapakah gerangannya? Apakah makna tersiratnya? Itu semua masih jadi tanda tanya buat aku. Kalian pasti berkeinginan untuk mengetahui mengapa perkataan ini sebegitu pelik rupa dan bunyinya? Hmm, itu satu misteri yang cuba aku rungkaikan. Nak kata ia adalah perkataan Inggeris, bukan, sebab aku dah cari maknaya dalam Kamus dan ia tidak membawa apa-apa maksud. Bahasa lain aku tak tau pula. Ada sesiapa yang tahu bahasa lain, boleh tolong aku terjemahkan maksud perkataan ini? Sementara nak menunggu kalian mancari , ingin dan suka sekali campur dengan bangga sikit untuk aku nyatakan yang aku percaya dan berpegang pada kata orang bahawasanya, orang Melayu ini memiliki daya kreativiti yang hebat. Sebab itu, orang Melayu memiliki daya kelangsungan hidup yang tinggi. Jadi, sengaja aku mahu menguji kreativiti anak Melayu lain selain aku untuk sama-sama kita merungkaikan apa yang sedang menimpa aku ini.Hehe…

Bukan apa. Aku semacam tak paham. Yang dimimpi pula tak jelas. Kabur-kabur. Itu yang buat aku kehairanan. Adakah itu satu petunjuk atau mainan syaitan semata-mata…

Dalam mimpi itu, aku berjalan-jalan keseorangan melalui sebuah lorong. Lorong itu sangat misteri. Kosong tiada berpenghuni. Tiada sesiapa pun. Kecuali satu sahaja. Hanya papan tanda di hujung lorong yang misteri ini. Aku segera berlari-lari anak menuju ke papan tanda itu. Mana tahu mungkin ada jawapan di sebalik kemisterian ini. Setibanya aku di depan papan tanda itu, aku amatinya dengan teliti. Setiap sudut, inci papan tanda itu aku uliti. Yang aku jumpa hanyalah satu perkataan. H.E.A.N.S.E… Heanse!!! Apa maksudnya? Persoalan pelik itu mula menghantui aku. Belum sempat aku mencari jawapan itu, KRIIIIIIIIIIIIING!! Bunyi jam loceng Taduk berbunyi menjagakan aku dari lamunan mimpi. Aku beristighfar panjang. Puas aku merenung dan cuba mengingati kembali makna tersirat di sebalik mimpi aku tadi. Tapi, hampa. Tiada jawapan yang aku perolehi…

Hmmmmmm..

* Ni rasa nak pergi jumpa dan tanya sendiri pada Si Penilik Mimpi tentang mimpi misteri melanda aku ini. Siapa pandai menafsir mimpi, boleh tolong aku…

baru aku tahu besarnya nilai beras itu…

Tadi, di Maulana Bosnia, ketika perut ini manja merengek-rengek minta diisi, aku cuba memujuknya lembut dengan memesan nasi goreng cendawan sebagai tanda pujukan…

Dua rakanku yang lain; Amsi hanya memesan chocolate shake, tak nak makan kerana mahu makan di rumah, jimat lagi katanya. Atau sebetulnya dia tak boleh makan kerana ketidakupayaan mulutnya mengunyah makanan dek kehilangan satu giginya yang mungkin menyebabkan keupayaanya mengunyah sudah tidak seperti manusia normal yang masih penuh giginya. Mungkin, itu hanya telahan aku. Manakala Taduk pula sudah siap siaga dengan makanan dari luar yang dibelinya sebelum tiba di Maulana Bosnia. Nasi Lemak dengan tambahan ayam goreng adalah pilihannya kali ini. Harganya pun berpatutan…

Dalam kurang dari sepuluh minit, makanan yang aku pesan sampai. “Bang, minta sos ya. errr, saya nak yang cili.” Itu memang kelaziman aku. Nasi goreng tanpa sos cili ibarat aiskrim sundae McDonald’s yang kosong tanpa inti coklat atau strawberi.Boleh buat air liur meleleh ni... Jadi, kalian boleh faham bukan bagaimana seksanya aku tanpa sos cili itu. Usai makan, kami bertiga berborak panjang. Sebetulnya, hanya Amsi dan Taduk saja berborak. Aku pula lebih mendiamkan diri sambil mencuri dengar inti perbualan mereka…

” Camne ni, I takut la tak dapat kerja tu”Amsi.

“Alah, kalau U berbakat, mesti akan dapatlah”Taduk.

“Tapikan, keputusan I tak berapa vogue sangatlah. Ish, susah betul nak cari kerja sekarang ni”Amsi lagi.

“Tahu pun U. Dulu tak nak belajar betul-betul. Asyik nak berjoli je keje U”Taduk pula.

“U nikan, cakap la something yang sedap hati I dengar”Amsi tak puas hati.

“Ok. U akan dapat kerja tu nanti. K. Senyum sikit”Taduk cuba memujuk.

Amsi tersenyum dan tak sedar Taduk hanya cuba memancingnya. Aku ditepi pula hanya mampu tersengih menampakkan gigi lengkap aku itu.

“Peh, macam ni rupanya bila orang hilang gigi senyum.”Aku dan taduk ketawa serentak.

Comelnya dia senyum...

“Ah, U ni kan. Jahat la, saja je nak suruh I senyum. Tau la gigi I satu dah tak ada”rajuk Amsi.

“Kekekekekkeke”Taduk terkekek lagi dengan hidungnya kembang kempis.

Inilah realiti orang berkerja. Aku yang menjadi pendengar setia hanya mampu tersenyum riang. Lucu lah telatah dua kawan aku yang boleh aku anggap seperti abang ini. Manusia. Ragamnya pelbagai…

Kemudian, setelah puas berada di situ, kami pun mengundurkan diri. Tiba di kaunter untuk membayar, ” Nasi goreng cendawan satu ya makcik”. “Empat ringgit dik”. “Haaa.Ok”. Aku terlongo seketika. Tanganku terketar-ketar memasukkan jari kedalam poket meraba-raba mencari kertas berwarna hijau. Terjumpa. Terasa berat mahu mengeluarkannya. Tapi aku gagahkan juga. Makcik itu memulangkan kembali satu wang kertas biru. Apakah ini kesan kenaikan harga beras sekarang? Jika aku makan di Padang, harganya hanya sekitar dua ringgit setengah ke tiga ringgit. Mungkin ini adalah kesan daripada kekurangan pengeluaran beras dek cuaca yang tidak mengizinkan ia untuk tumbuh subur. Maka, kesannya adalah pada pengguna seperti aku yang terpaksa menangungnya…

Hargailah ia sementara masih murah...

Mungkin kalian yang membaca akan berfikir aku ni terlalu berkira dalam soal makan. Ya. Aku akui itu kerana kedudukan kewangan aku sekarang yang menyebabkan aku terpaksa menjadi seorang manusia yang berkira-kira dalam semua hal terutamanya dalam soal wang(kecuali kalau ada hal kecemasan). Jadi yang aku ingin utarakan di sini hanyalah berkaitan harga beras yang bakal atau pun sudah meningkat. Harap kerajaan dapat melakukan sesuatu dalam menangani situasi yang aku anggap runcing ini…

*Hmmm. Terasa mahu balik rumah saja. Makan sana percuma. Tapi, memandangakn 1200 yang masih belum tercapai, terpaksa aku lupakan semula hasrat itu…

Puisi #1

Pagi

Pagi itu menyegarkan,

Tidak pula gelap dengan kesesatan,

Pawana sejuk turun menggila,

Menghambat manusia terus dalam lena,

Tidak sedar diri kian menjauh,

Dari cahaya keinsafan,

Pagi tidak bersalah,

Kerana ia hanya mengikut kata-Nya…

Babi oh babi, memang aku dengki denganmu…

Buka ini
Dah faham kenapa aku boleh cemburu dengan makhluk Tuhan yang satu ini. Hairan juga aku bagaimana makhluk ini boleh terlepas dari kandangnya hingga tersesat masuk ke dalam dewan parlimen. Mungkin itu sebabnya projek RM100 juta itu perlu dilaksanakan segera agar nanti makhluk-makhluk ini tidak akan tersesat masuk ke dalam dewan parlimen lagi…

Ok. Yang aku nak utarakan di sini hanyalah satu isu saja. Berkaitan isu babi. Penting sangat ke isu ini sampai boleh dijadikan permainan dalam parlimen. Pengurus pasar Rembau ini memang sengaja mahu mencari publisiti murahan dengan memberi akronim mengarut. Aku rasa tak perlu publisiti murahan seperti ini. Come on dude. Malu Universiti Oxford ada produk macam kau ini. Dan kepada abang Pokok Sena, aku pun rasa kau tak perlu melawannya kembali. Tak usah. Buat malu saja. Banyak lagi isu penting boleh dibincangkan. Macam isu harga beras naik, pengangguran atau pun isu sastera di Bolehland ini…

Sebut tentang sastera, suka untuk aku memberi pendapat aku berhubung perkara ini. Seperti yang diketahui umum, tak lama lagi, teks KOMSAS akan ditukar di mana ianya akan diambil alih oleh karya bukan sastera pula. Selain itu, ramai juga tahu tentang isu Pak Samad merajuk kerana isu KOMSAS tadi dan juga mungkin tentang isu hak karyanya. Selain itu, banyak lagi isu-isu yang aku tidak ketahui tetapi sebenarnya wujud dan jika tidak diambil langkah penyelesaian segera, dikhuatiri mungkin akan berkubur nanti. Minta dijauhi. Aku bukanlah orang sastera, cuma baru saja mahu bertatih-tatih dalam dunia yang aku anggap sangat menarik ini. Jadi, aku rasa, nasihat aku pada Pengurus pasar Rembau (itupun kalau kau baca entri aku ini), eloklah kiranya kau perjuangkan isu-isu yang melanda dunia sastera sekarang. Aku yakin jika kau berjaya memartabatkan kembali dunia sastera dan mengangkatnya seperti mana kedudukan tinggi yang diberikan pada dunia hiburan sekarang, aku yakin kau akan dipilih sekali lagi pada PRU13 kali ini. Tidak perlu kiraan sebanyak tiga kali dan juga bantuan daripada khidmat pos. Lagi mudah bukan…

Berbalik pada babi semula. Memang aku dengki dengan babi ini jika selalu menjadi bualan hangat sehinggakan boleh dibawa masuk ke dalam parlimen. Bukanlah aku mahu katakan isu babi ini yang sebetulnya adalah masalah besar buat penduduk-penduduk kampung di Sepang ini tidak penting. Penting sebenarnya jika yang dibincangkan adalah masalah penduduk itu. Bukannya babi itu yang di jadikan sendaan. Aku rasa memang perlu di wujudkan kod-kod etika dalam parlimen supaya orang didalamnya tidak lagi merapu yang bukan-bukan. Tidak mencarut sakan. Memang aku sokong. Seperti mana mahasiswa di sekat oleh AUKU, begitu juga dengan ahli parlimen itu sendiri…

* Tak sabar nak tunggu hasil pindaan AUKU di keluarkan. Harap-harap ada yang positif.

Taduk #1

Ni nama roommate aku. Ya. Aku kini menetap sebilik dengannya. Bagaimana orangnya? Jika mahu diceritakan secara kasar, dia memang baik orangnya. Berhati mulia. Bersikap penyayang pada haiwan terutamanya kucing. Dan dia juga orang yang berwawasan tinggi dan sentiasa maju kehadapan. Maju dari segala segi, sudut, bucu dan perspektif jika dibandingkan dengan aku. Memang aku tak mampu menandinginya. Dari kiraan umur, dia sudah maju 2 tahun dari aku. Begitu juga perutnya, sudah maju kehadapan 2 inci lebih dari aku. Itu antara contoh-contoh kemajuan Taduk ini yang telah Allah anugerahkan kepadanya…

Oh ya. Kini dia juga telah melangkah setapak jauh ke depan lagi dari aku. Dia sudah berkerjaya sekarang dan aku terdengar ura-ura dia mahu membeli kereta dengan duit gaji pertamanya nanti. Aku tumpang gembira untuk Taduk. Kau memang sentiasa selangkah lebih dari aku. Baru-baru ini pun, dia telah masuk hutan terlebih dulu dari aku. Memang kami berdua selalu bersaing dan walaupun dia selalu menang, aku tidak pernah pun rasa cemburu. Tidak pernah walaupun sekelumit atau sebesar zarah pun, perasaan dengki itu wujud. Ini kerana, dia sudah aku anggap seperti rakan baik aku. Jadi, apa yang baik dia dapat, pasti akan tempias pada aku juga. Contoh mudah. Dia mahu beli kereta. Tempiasnya, aku dapat tumpang pergi kemana-mana tanpa perlu rasa takut pada hujan lagi. Ya. Contoh yang baik bukan…

Lain sempadan geografi, sama rumpun bangsa…

Sawadikap…

Nampak beza, tapi hakikatnya kami semua adalah sama. Sama dari segi rumpun bangsa, warna kulit dan juga pertuturan bahasa…

Yang memisahkan, hanya garisan sempadan buatan manusia…

Ok. Itu adalah apa yang aku dapat sewaktu mengikuti bengkel penulisan PENA di Sg. Tekala (kredit pada Kak Adik kerana sudi menjemput aku dan juga abang SM Zakir yang telah berjaya mengendalikan bengkel ini dengan jayanya). Bengkel ini telah dihadiri oleh pelajar-pelajar dari Prince of Songkhlai University dan juga dari Malaysia. Sebetulnya, macam apa aku dah cakapkan tadi dan suka aku nak ulang kembali, mereka juga Melayu seperti aku. Sebangsa dengan aku. Itu adalah persamaan paling nyata. Begitu juga dengan bahasa, iaitu bahasa Melayu walaupun mungkin dialek mereka berbeza. Itu bukanlah masalah besar. Jadi, bila bersama mereka, seolah-olah aku baru terjumpa dengan saudara jauh yang telah lama terpisah. Erat sekali rasanya. Mungkin mereka pun rasa begitu. Bila bertemu, banyak yang di bincangkan dan dikongsi bersama. Banyak sekali rupanya persamaan diantara tempat mereka, di Pattani dengan disini. Sebetulnya, memang harusnya sebegitu kerana budaya kami masih sama. Yang berbeza hanyalah geografi. Ya. Seperti masyarakat Cina di China dan di Malaysia juga. Budaya mereka masih sama. Masing-masing masih menyambut Tahun Baru Cina, ada tarian singa dan lain-lain lagi. Yang beza hanyalah geografi. Samalah juga dengan kaum India, Arab(mungkin) dan Bangla. Err, Bangla rasanya bukan kerana mereka bukanlah tergolong masyarakat Malaysia. Maaf ya. Bangsa kamu tidak boleh aku golongkan sekali untuk entri ini. Mungkin untuk entri akan datang. Mungkin…

Berbalik pada bengkel penulisan PENA tadi, banyak yang telah aku dapat sepanjang tiga hari di sana. Cuma suka untuk aku memberi perhatian lebih pada sahabat satu bangsa berlainan geografi ini. Ada dua puluh orang pelajar kesemuanya yang terlibat. Dan dua puluh orang ini boleh aku katakan sangat baik, peramah dan gila-gila (terutamanya si muka tanpa perasaan ini, Bakri. Sory dude, tapi aku memang suka dengan gaya kau yang selamba itu). Dan rupanya, mereka juga disana mengalami masalah yang sama seperti kami di Malaysia ini. Kepupusan kaum Adam. Sungguh. Aku sama sekali tak menyangka rupanya di sana kaum Hawa mendominasi. Kita senasib dude. Haha…

Dan aku memang bersyukur kerana dilahirkan negara bertuah ini. Di Bolehland ini. Ok. Di Malaysia. Kerana di sini aku bebas( mahasiswa aku kecualikan) melakukan apa saja yang kau mahu asalkan tidak melanggar perlembagaan negara. Di sana lain pula. Kata mereka, tidak sebebas di sini. Kau dilarang berkumpul beramai-ramai. Satu jenayah. Di sini boleh. Nak lepak ramai-ramai di Mapley sambil menonton Champions League di mana Chelsea bakal menewaskan MU nanti bukanlah satu jenayah. Bebas. Tidak perlu permit pun. Lagi kata mereka, di sana bunyi bom selalu kedengaran dan sudah menjadi bunyian biasa yang menemani kehidupan mereka. Ramai yang menjadi mangsa dan ada yang mati. Aku bersimpati. Di sini lain pula, bunyian yang biasanya didengari adalah dari bunyi bising motor mat rempit. Dan ada juga yang mati. Tapi, yang ini aku tak peduli. Aku lagi suka dan puas hati…

Setelah mendengar kisah-kisah dari mereka, terdetik pula dalam hati ini hendak berkunjung ke sana pula. Ke negeri yang sepatutnya di bawah Bolehland, tapi disebabkan ‘kebijaksanaan’ pemerintah dulu kala menyebabkan mereka terasing bernaung di bawah kuasa lain. Ok. Tak mengapalah kerana itu semua sudah menjadi sejarah. Tapi, aku memang mahu ke sana, melawat saudara-saudara dekat yang sudah lama terpisah jauh. Mahu tinggal sekali dengan mereka. Mahu rasa bagaimana kehidupan mereka di sana. Mahu tahu masih Melayu lagikah mereka? Atau serupa saja dengan Melayu di sini yang sudah makin terhakis identiti Melayunya. Yang semakin keliru dengan bangsanya sendiri. Yang aku sendiri turut rasa sedih melihat kehancuran identiti Melayu ini. Harapnya di sana masih terpelihara Melayu mereka itu…

Jadi, untuk memastikan apa yang aku impikan itu menjadi realiti, aku hanya berharap agar mereka yang telah aku kreditkan tadi dapat melakukan sesuatu untuk pemuda yang langsung tidak pernah ke luar negara ini. Ini adalah harapan daripada seorang pemuda Melayu yang sayangkan bangsanya sendiri…

* Caw ma caw cam ceng, Namning lai lek, Nekteng kon caw, Caw rea ca pai se pak. ( Aku suka permainan ini, kawan-kawan, kalau ada kesempatan mari kita mainkannya sekali lagi ya. Hehe)

Jawapan…

Ok. Nampaknya, ramai yang tak dapat meneka dengan tepat teka-teki#2 tempoh hari…

Jawapannya adalah penguin

Hehe…

Lihat. Tidak ada unsur lucah atau seangkatan dengannya bukan…

Kamera idaman aku…

Canon PowerShot SX100 IS

Harganya tidaklah terlalu mahal, dalam lingkungan RM1200 dan sebab itu ia juga dipanggil budget model

Oleh itu, dalam jangka masa kurang dari 2 bulan ini(sebelum bermulanya sem baru), aku sedang giat berusaha mengumpulkan duit sebanyak itu untuk memiliki kamera idaman ini…

Jadi, kepada kawan sekalian, marilah tolong aku merealisasikan impian kecil aku ni dengan memberitahu aku apa-apa pekerjaan yang menawarkan gaji yang boleh tahan, kalau boleh part-time lagi bagus…

Tolong ya…

* Mahu beralih arah menjadi photographer pula kali ini…